This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Kediaman tidak sempurna
14/01/2008 Berita Harian Oleh Tuan Nazuri Tuan Ismail

Penghuni Kondominium Ampang Prima kecewa pemaju tak patuh syarat jual beli sebabkan mereka terdedah jenayah

AMPANG: Kondominium Ampang Prima di Bandar Baru di sini sepatutnya menjadi kediaman eksklusif bagi kira-kira 2,000 penghuninya tetapi harapan mereka dihampakan pemaju yang dikatakan gagal mematuhi syarat perjanjian jual beli.

Sepanjang enam bulan pertama tahun lalu, 29 kes pecah masuk rumah dilaporkan atau purata sebuah rumah dipecah masuk seminggu, tidak termasuk jenayah lain seperti cabul dan pecah kenderaan.

Semua masalah itu didakwa berpunca daripada tindakan pemaju yang gagal menyediakan kawalan keselamatan ketat termasuk menyediakan kamera litar tertutup (CCTV) mencukupi terutama di tempat sunyi dan strategik.

Lebih mengecewakan, penghuni membayar lebih RM160 sebulan untuk caj penyelenggaraan tetapi mereka masih terdedah kepada ancaman bahaya.

Setakat ini, pemaju hanya memasang 67 unit CCTV di empat blok perumahan yang menempatkan 699 unit kondominium sederhana itu tetapi penduduk menyifatkan ia belum mencukupi dan mahu ditambah 34 lagi CCTV.

Penghuni yang terdiri daripada golongan profesional dan sederhana itu mahu ia dipasang di lobi lif setiap blok, tambahan lapan unit di empat tingkat tempat meletak kenderaan, sembilan dalam lif, tangga di tingkat lima setiap empat blok selain Rumah Kelab yang menempatkan gimnasium, bilik mesyuarat dan kolam renang.

Pengerusi Persatuan Penduduk perumahan itu, Mejar Khairul Anuar Othman, mendakwa pihaknya ada bukti kukuh menunjukkan pemaju melanggar syarat perjanjian jual beli.

Beliau berkata, pihaknya juga ada bukti kegagalan syarikat pengurusan harta dan keselamatan yang dilantik pemaju mengendalikan harta bersama dengan sempurna.

"Pemaju berjanji melebarkan laluan masuk utama pada September tahun lalu tetapi sehingga kini tidak ditunaikan. Pemaju juga melengahkan permohonan mendapatkan hak milik strata," katanya ketika mengadakan mesyuarat dengan penduduk, baru-baru ini.

Khairul Anuar berkata, pemaju juga gagal memasang interkom untuk setiap unit kediaman sedangkan kemudahan itu terkandung dalam perjanjian syarat jual beli (S&P).

Katanya, walaupun interkom tidak dipasang, pemaju menerusi syarikat pengurusan harta tetap mengenakan bayaran setiap bulan sebagai caj penyelenggaraan.

"Interkom antara sistem keselamatan yang berkesan bagi memastikan orang tidak dikenali memasuki atau menceroboh kawasan kediaman," katanya.

Beliau mendakwa, pemaju seolah-olah sengaja melengahkan pemasangan interkom untuk menunggu tarikh tamat liabiliti yang disyaratkan 18 bulan selepas unit kediaman diserahkan kepada pemilik yang akan tamat pada 14 Jun ini.

Katanya, pemaju juga tidak memasang jubin di setiap lobi dan koridor kecuali tingkat lima yang menempatkan pejabat pengurusan dan 17 (penthouse) selain gagal menunjukkan pelan pembinaan yang diluluskan pihak berkuasa.

"Kami meragui sama ada pembinaan kondominium ini mengikut spesifikasi dan pelan yang diluluskan termasuk bahan yang digunakan dan keluasan serta bentuk asal yang dicadangkan," katanya.

Khairul Anuar berkata, hasil siasatan persatuan penduduk menemui longgokan jubin dalam stor yang dipercayai untuk dipasang di lobi tetapi dibiarkan begitu saja.

Katanya, syarikat pengurusan dan penyelenggaraan yang dilantik pemaju tidak layak menguruskan perumahan itu kerana tidak mendaftar dengan Lembaga Penilai, Pentafsir dan Ejen Harta Tanah Malaysia.

Beliau berkata, lembaga itu menghantar notis kepada syarikat berkenaan pada 13 Oktober lalu supaya berhenti menyelenggara kondominium itu tetapi sehingga kini ia masih beroperasi.

Keingkaran itu menyebabkan timbul pertelingkahan antara syarikat pengurusan dan syarikat kawalan keselamatan berkaitan kelewatan pembayaran gaji kepada pengawal keselamatan sekali gus menjejaskan mutu perkhidmatan.

Katanya, memorandum mengenai masalah itu diserahkan kepada Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) selaku Pesuruhjaya Bangunan, Datuk Mohammad Yacob yang berjanji akan menyiasat semua aduan.

Memorandum itu turut diserahkan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting; Ahli Parlimen Ampang, Dr Rozaidah Talib dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lembah Jaya, Datuk Ismail Kijo.

Sementara itu, pemaju berkenaan ketika diminta mengulas dakwaan penduduk gagal memberi jawapan apabila soalan yang diminta menerusi e-mel sehingga kini tidak berbalas.

Sikap pemaju bermain tarik tali dan menidakkan hak penduduk boleh menyebabkan mereka dikenakan tindakan tegas oleh kerajaan negeri, termasuk disenarai hitam daripada terbabit dalam projek perumahan di Selangor.

FAKTA NOMBOR: Kondominium Ampang Prima


699 - Unit
2,000 - Penghuni
67 - CCTV sudah dipasang
34 - CCTV perlu ditambah.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.