This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Jumlah kes jual beli rumah menurun

16/01/2008 Utusan Malaysia


PETALING JAYA 15 Jan. – Jumlah kes berkaitan jual beli rumah yang dirujuk kepada Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah (TTPR) mencatatkan penurunan dalam tempoh tiga tahun lalu.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting berkata, pada 2004, jumlah kes yang didaftarkan sebanyak 6,524 namun ia berkurangan kepada 5,624 kes pada 2005, 3,821 kes (2006) dan 3,000 kes tahun lalu.

Beliau berkata, selain jumlah kes yang didaftarkan, bilangan kes yang berjaya diselesaikan menerusi TTPR juga cukup membanggakan.

Katanya, daripada 6,524 kes berdaftar pada 2004, sebanyak 6,506 kes berjaya diselesaikan diikuti 5,541 kes berjaya diselesaikan pada 2005, 3,667 kes (2006) dan 2,363 kes berjaya diselesaikan tahun lalu.

“Kita berada di landasan yang betul. Tribunal Perumahan akan bertindak sebagai penghalang kepada sesetengah pemaju yang tidak jujur dan cuba menakut-nakutkan pembeli,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri taklimat Pembangunan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) (Pindaan) Akta dan Peraturan 2007 di sini hari ini.

TTPR diwujudkan bagi mengadili tuntutan pembeli terhadap pemaju perumahan dengan lebih mudah selepas pindaan dibuat ke atas Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Perlesenan) 1966 pada 2002.

Ka Ting menjelaskan, berdasarkan rekod, kebanyakan kes yang dirujuk di tribunal melibatkan kelewatan menyiapkan rumah di samping laporan kecacatan rumah yang dibina.

“Namun, penurunan jumlah kes yang didaftarkan memperlihatkan tahap kesedaran di kalangan pemaju perumahan terhadap kepentingan mengawal selia projek masing-masing,” katanya.

Beliau menambah, pihak kementerian akan menyenaraihitamkan pemaju yang mengulangi kesalahan selepas dikenakan hukuman di TTPR.

Ditanya mengenai Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 yang dipinda dua kali iaitu pada 2002 dan tahun lepas, beliau menegaskan, ia terpaksa dilakukan demi kepentingan industri perumahan.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.