This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Perjanjian jual beli perlu guna Bahasa Malaysia
15/09/2007 Utusan Malaysia Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD

KUALA LUMPUR 14 Sept. – Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah (TTPR) mahu perjanjian jual beli (S&P) diubah daripada bahasa Inggeris kepada Bahasa Malaysia kerana majoriti pembeli rumah di negara ini tidak faham hak mereka kerana teks perjanjian itu terlalu rumit dan teknikal mengikut bahasa perundangan.

Pengerusi TTPR, Hamdan Indah berkata, bahasa Inggeris yang digunakan dalam format perjanjian S&P sekarang menyukarkan pembeli memahami perjanjian itu sehingga mereka berisiko ditipu sekaligus menanggung kerugian besar.

Beliau percaya penggunaan bahasa Inggeris menyukarkan orang ramai untuk memahami isi kandungan perjanjian tersebut.

‘‘Saya sendiri yang mempunyai pengetahuan dalam bidang undang-undang terpaksa membaca perjanjian itu beberapa kali untuk memahami isi kandungannya, apatah lagi orang biasa,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Hamdan berkata demikian ketika diminta mengulas rungutan golongan pembeli rumah yang tidak faham isi kandungan perjanjian jual beli yang ditandatangani selepas mereka membeli rumah kerana ia ditulis dalam bahasa Inggeris.

Menurutnya, apa yang berlaku itu tidak adil bagi pihak pembeli dan mereka juga berpotensi untuk ditipu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

‘‘Mereka menandatangani satu perjanjian yang mereka sendiri tidak faham isi kandungannya dan kesan perjanjian itu dari segi undang-undang pada masa hadapan.

‘‘Kebiasaannya peguam hanya menunjukkan kepada pembeli ruang dalam dokumen perjanjian untuk ditandatangani dan bukan menerangkan isi kandungan perjanjian. Inilah yang berlaku selama ini,’’ jelasnya.

Kata Hamdan, terdapat pembeli rumah yang tidak tahu hak serta liabiliti mereka selepas menandatangani perjanjian tersebut.

Antaranya, kata beliau, ialah hak pembeli mendapat ganti rugi sekiranya berlaku kes rumah lewat serah oleh pihak pemaju.

Beliau berkata, masalah seperti ini sering diadukan kepada pihak tribunal.

‘‘Semua ini ada dalam perjanjian. Inilah masalahnya apabila perjanjian ditulis dalam bahasa Inggeris dengan gaya bahasa undang-undang,’’ ujarnya.

Beliau yakin jika perjanjian itu ditulis dalam bahasa Malaysia, pembeli boleh memahami isi kandungan perjanjian itu dengan baik.

‘‘Setiap pembeli harus diberi hak yang sewajarnya untuk meneliti dan seterusnya memahami isi kandungan perjanjian kerana mereka mengeluarkan wang yang banyak untuk membeli rumah.

‘‘Oleh itu pembeli harus diberi hak untuk mengetahui satu persatu perkara yang dicatatkan dalam perjanjian tersebut,’’ katanya.

Selain ditulis dalam Bahasa Malaysia, Hamdan turut mencadangkan perjanjian itu dibuat ringkasan bagi memudahkan rujukan dibuat.

Sementara itu, Timbalan Presiden Per- satuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Datuk Michael Yam berkata, pembeli berhak meminta pihak peguam untuk menyediakan dokumen perjanjian dalam Bahasa Malaysia.

‘‘Ini merupakan hak pembeli. Hak ini tidak boleh dinafikan oleh mana-mana pihak. Sekiranya pembeli mahu dokumen ditulis dalam Bahasa Malaysia, saya tidak fikir ia tidak boleh dibuat.

‘‘Selain itu, peguam juga perlu menerangkan satu persatu isi kandungan perjanjian sebelum pembeli menurunkan tandatangan. Ini juga perlu dilakukan bagi mengelakkan timbul sebarang masalah pada masa akan datang,’’ tambahnya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.