This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Pembeli digesa benarkan SPNB ambil alih projek
24/09/2007 Berita Harian

KUANTAN: Nasib 828 pembeli rumah Taman Perumahan Datuk Rashid Salleh, Jalan Pintasan Kuantan Pelabuhan, di sini yang terbengkalai sejak 10 tahun lalu dijangka selesai apabila Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) sedia mengambil alih projek berkenaan.

Namun, berdasarkan syarat ditetapkan, SPNB memerlukan persetujuan 70 peratus daripada 828 pembeli rumah di taman terbabit bagi memastikan kerja pembinaan dapat dilaksanakan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Semambu, Pang Tsu Ming, berkata setakat ini, hanya 47 peratus pembeli bersetuju supaya SPNB membina semula rumah yang terbengkalai itu.

Sehubungan itu, katanya, beliau bersama Adun Beserah, Datuk Faisal Abdullah mahu pembeli rumah terbabit yang belum memberi persetujuan berbuat demikian secepat mungkin.

"Saya sebenarnya tidak nampak sebarang kerugian yang akan dihadapi pembeli terbabit kerana mereka tidak dikenakan sebarang caj tambahan apabila projek itu diambil alih SPNB.

"Sebaliknya, pembeli masih bernasib baik kerana harga rumah yang dibeli masih ditetapkan pada harga lama semasa mereka menandatangani perjanjian jual beli 10 tahun lalu.

"Rata-rata rumah yang dijual antara RM25,000 dan RM53,900 seunit yang dianggap masih menguntungkan pembeli kerana ia tidak dinaikkan mengikut harga semasa," katanya di pejabat MCA Kuantan, di sini, semalam.

Ditanya projek pemulihan yang akan dilaksanakan SPNB, Pang berkata, 20 kontraktor sedia menjalankan projek terbabit melalui tender yang dikeluarkan pada 11 September lalu.

Katanya, SPNB perlu mendapat kebenaran daripada pemilik tanah dan syarikat pemaju perumahan yang gagal menyiapkan projek itu terlebih dulu, sebelum memulakan kerja pemulihan.

"Saya yakin masalah pembeli yang sudah menunggu lebih 10 tahun untuk mendapat rumah sendiri akan selesai tidak lama lagi," katanya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.