This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

10 tahun tunggu rumah

24/09/2007 Berita Harian Oleh Mohd Roji Abdullah

Pembeli kediaman di Taman Mengkibol Kluang minta kerajaan campur tangan supaya projek terbengkalai diteruskan

KLUANG: Selepas hampir 10 tahun menanti, 351 pembeli rumah di Taman Mengkibol, di sini terus menaruh harapan untuk menduduki rumah idaman mereka satu hari nanti walaupun hingga kini tiada tanda pemaju akan meneruskan projek yang terbengkalai sejak dua tahun lalu.

Sejak menandatangani perjanjian jual beli pada 1998, ramai pembeli yang kebanyakan kakitangan kerajaan termasuk anggota tentera berharap menduduki rumah yang dibina di satu kawasan yang cukup indah itu dalam tempoh sekurang-kurangnya dua tahun.

Bagaimanapun, kini harapan mereka musnah menyebabkan ramai yang sudah membawa diri ke tempat lain. Malah ada yang berhijrah ke negeri lain terutama anggota tentera yang kecewa apabila gagal menduduki rumah sendiri selepas bersara.

Dalam sembilan tahun menanti rumah itu siap, ada di kalangan 351 pembeli itu yang dikatakan sudah meninggal dunia.

"Menyedihkan, tak tahu bila rumah ini akan menjadi milik kami. Cuma kami harapkan kini ialah campur tangan kerajaan negeri untuk membantu membela nasib kami yang dianiayai," perkataan itu diucapkan berulang kali oleh beberapa pembeli ketika membawa Berita Harian meninjau keadaan rumah terbengkalai itu, baru-baru ini.

Pembeli sedih dan kecewa kerana kehidupan mereka semakin dihimpit beban pembayaran ansuran sejak hampir 10 tahun lalu dan pada masa sama, terpaksa membayar sewa rumah yang mereka duduki ketika ini.

Bagi mencari penyelesaian, 215 pembeli sepakat menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Pembeli Rumah Taman Mengkibol pada 2002. Mereka juga tidak jemu mengunjungi pejabat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di ibu negara bagi mencari penyelesaian kepada masalah itu.

Pengerusi jawatankuasa itu, Ali Syed Mohamad, 38, yang bertugas sebagai guru di sebuah sekolah menengah di sini, berkata mereka sanggup mengambil cuti dan mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk menemui pegawai berkaitan di kementerian.

"Sejak 2004, tidak kurang tujuh kali kami ke ibu negara berjumpa pegawai kementerian untuk mencari penyelesaian masalah ini.

"Kali terakhir, kami ke sana (ibu negara), minggu lalu tetapi tak tahulah sama ada nasib kami akan terbela dalam tempoh terdekat," katanya.

Ali, bapa kepada tiga anak, berkata, beliau terpaksa membayar ansuran rumah menerusi potongan gaji sebanyak RM700 sebulan sejak tujuh tahun lalu selain membayar sewa rumah di Taman Permata sebanyak RM350 sebulan.

"Setiap bulan kami membayar ansuran untuk rumah yang entah bila akan kami miliki. Kami akan terus berjuang mendapatkan hak kami itu dan dengan bantuan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Mengkibol, Gan Ping Siew, kami berharap masalah kami mendapat perhatian," katanya.

Pembeli, Tow Man Chong, 36, berkata beliau yang sudah berkeluarga terpaksa menumpang di rumah bapanya di Taman Kluang Barat kerana harapannya untuk menduduki rumah sendiri seakan tidak tercapai.

Tow, yang juga Setiausaha Jawatankuasa Bertindak Pembeli Rumah Taman Mengkibol itu, berkata beliau tidak mampu membeli rumah lain.

"Saya sudah membayar lebih RM40,000 untuk rumah berharga RM88,000 yang tidak siap itu. Siapa yang tidak kecewa kerana kita terpaksa membayar benda yang belum tentu kita dapat," katanya bekerja dengan sebuah syarikat swasta di Bandar Tenggara.

Sebanyak 440 unit rumah dibina pemaju projek perumahan Taman Mengkibol yang bermula pada 1998 itu.

Projek perumahan itu dikatakan menghadapi pelbagai masalah selepas 350 unit rumah yang dibina itu berjaya dijual dan kerja pembinaan dihentikan dua tahun lalu. Kini hanya beberapa pengawal keselamatan ditugaskan di kawasan perumahan itu untuk menjaga pelbagai peralatan.

Sementara itu, Gan berkata, beliau sendiri sudah beberapa kali menemui pegawai kementerian terbabit untuk mencari penyelesaian masalah itu.

Katanya, beliau sekali lagi menemui pegawai kementerian di ibu negara 14 September lalu dan pegawai bahagian penguat kuasa berjanji merujuk kes itu ke bahagian penasihat undang-undang untuk mengambil tindakan terhadap pemaju mengikut Seksyen 7 Akta Pemaju Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966.

"Saya tak mahu pembeli terus menderita kerana kegagalan pemaju menyempurnakan projek perumahan itu dalam tempoh ditetapkan. Saya juga akan berbincang dengan pihak pembiaya projek (Malaysia Building Society Sdn Bhd) untuk mengadakan pertemuan dengan kementerian berkaitan.

"Jika boleh projek ini boleh diambil alih Suruhanjaya Perumahan Negara (SPN)," katanya yang sudah beberapa kali membentangkan masalah itu pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

FAKTA NOMBOR:
Projek perumahan Taman Mengkibol



RM700 - Ansuran bulanan


440 - Rumah dibina


351 - Pembeli.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.