This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

13 projek rumah dikategori terbengkalai
14/08/2007 Berita Harian

SEBANYAK 13 projek perumahan awam dan swasta membabitkan 2,810 pembeli di seluruh Pahang masih dikategorikan sebagai terbengkalai, kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pusat Pertumbuhan, Datuk Mohd Soffi Abdul Razak.

"Bilangan projek terbengkalai itu tidak termasuk tiga projek perumahan yang dikategorikan sebagai sakit membabitkan 618 unit rumah di perumahan Rompin Permai, Perumahan Pasdec Damansara dan Taman Alam Perdana," katanya menjawab soalan Shafik Fauzan Sharif (BN-Inderapura).

Katanya, kerajaan melalui Syarikat Perumahan Negara Berhad sedang berusaha memulihkan projek terbengkalai itu.

Setakat ini, katanya lapan projek membabitkan 1,749 unit rumah di Kuantan, Beserah, Temerloh, Maran, Bandar Pusat Jengka dan Bera sudah diselamatkan.

Menjawab soalan tambahan Shafik Fauzan, Mohd Soffi berkata, Projek Penempatan Semula Nelayan di Bunut Rendang bertujuan menempatkan keluarga nelayan dari Tanjung Lumpur, Tanjung Api, Kampung Selamat dan Peramu.

Projek itu, katanya diluluskan pada 1997 dan melalui beberapa peringkat pelaksanaan.

"Bagaimanapun, projek itu ditakrifkan sebagai lewat atau terbengkalai dan pada 1998, kerajaan menamatkan kontrak kontraktor terbabit dan memberi kepada pemaju lain.

"Sehingga kini, kerja merata pasir sudah disempurnakan bagi fasa pertama daripada tiga fasa yang dicadangkan.

"Kerja pembinaan membabitkan 154 unit pada fasa pertama dijangka siap pada akhir tahun ini dan ia ditawarkan kepada mereka yang layak," katanya yang memberi jaminan kerajaan akan meneruskan projek perumahan nelayan di Bunut Rendang.

Malah, katanya semua agensi dan jabatan yang terbabit meluluskan pelan pembangunan sudah memberi maklum balas dan projek itu dijangka diteruskan seperti dirancang.

"Dokumen tender infrastruktur sedang disediakan dan tender akan dipanggil bagi membina jalan dan sistem saliran.

"Pelan bangunan untuk fasa dua dan tiga yang berjumlah 346 unit termasuk komponen lain seperti surau dan dewan orang ramai sudah dikemukakan kepada Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) untuk kelulusan," katanya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.