This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Rumah terbengkalai lebih tujuh tahun siap
14/06/2007 Berita Harian Oleh Wan Jailani Razak

Pembeli kediaman di Taman Pinggiran Subang lega SPNB baik pulih pangsapuri bermasalah

SHAH ALAM: Pembeli rumah di Bandar Pinggiran Subang, Seksyen U5, di sini akhirnya menarik nafas lega sebaik menerima kunci rumah idaman baru-baru ini selepas menunggu lebih tujuh tahun.

Projek perumahan yang terbengkalai sejak 2001 itu dipulihkan kerajaan menerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) yang membelanjakan lebih RM21 juta membaik pulih 600 unit rumah pangsapuri kos sederhana lima tingkat di kawasan seluas 3.6 hektar.

Malah, bagi memenuhi tanggungjawab sosial, SPNB juga menyumbangkan sebuah surau kepada penduduk yang akan dibina di tapak surau sedia ada.

Pembeli pula hanya perlu membayar harga rumah seperti yang dipersetujui dalam perjanjian jual beli asal tanpa perlu menanggung kos bayaran tambahan kerana ditanggung kerajaan.

Pembeli Yahya Zain, ketika ditemui berkata, beliau membeli rumah itu pada harga lebih RM96,000, awal 1997 dan sejak itu terpaksa membayar kepada bank lebih RM400 sebulan walaupun rumah tidak siap.

Kecewa dengan sikap pemaju yang gagal menyiapkan projek perumahan seperti dijanjikan, beliau mengadu masalah itu kepada wakil rakyat bagi membantu mencari penyelesaian.

Beliau berterima kasih kepada SPNB, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo dan Pengerusi Jawatankuasa tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan negeri, Datuk Mohd Mokhtar Ahmad Dahalan yang mengambil inisiatif menyelesaikan masalah itu.

Seorang lagi pembeli, Azman Abdul Aziz, berkata beliau masih tidak berpuas hati terhadap sikap pemaju yang tidak bertanggungjawab kerana menyebabkan beliau terpaksa menunggu lebih tujuh tahun untuk mendapatkan rumah.

Bagi kerajaan Selangor, kerjasama dengan SPNB diteruskan dengan cuba mempercepatkan usaha pemulihan projek perumahan yang bermasalah dan terbengkalai.

Dr Mohamad Khir berkata, menangani projek terbengkalai lebih mencabar berbanding membina projek baru kerana pelbagai masalah terpaksa diselesaikan seperti perundangan, mengenal pasti semula dokumen berkaitan, mengenal pasti dan mengesan semula penama atau pemilik.

Katanya, pelbagai masalah lain terpaksa dihadapi dalam menangani projek perumahan terbengkalai seperti bangunan retak dan tiada kemudahan, namun kerajaan tetap prihatin dengan masalah yang dihadapi rakyat.

Pengerusi SPNB, Datuk Azian Osman ketika menerangkan proses siap projek itu pula berkata, ia adalah projek terbengkalai kelima di negeri ini yang dikendalikan sepenuhnya oleh SPNB menerusi bantuan kewangan kerajaan Pusat.

Katanya, SPNB diberikan tanggungjawab untuk mengambil alih dan membaik pulih projek perumahan terbengkalai Bandar Pinggiran Subang itu pada 2003.

"Projek perumahan ini sebelum itu dijadual siap pada 2000 selepas dilancarkan pada 1997 tetapi terbengkalai ketika kira-kira 80 peratus siap disebabkan masalah kewangan dan kurang kepakaran daripada segi pengurusan yang dihadapi pemaju.

"Majlis Penerangan Dan Akujanji dengan pembeli rumah akhirnya diadakan di Kompleks Taman Seni Islam Shah Alam pada Disember 2004 sebelum kami menerima kebenaran memulakan kerja pembinaan pada 2005," katanya.

Azian berkata, SPNB secara keseluruhan dipertanggungjawabkan untuk membaik pulih 58,245 unit rumah bagi 189 projek di seluruh negara yang 19,895 unit rumah sudah dibaik pulih sepenuhnya.

Ketika ini, katanya, SPNB sedang membaik pulih lima projek terbengkalai membabitkan 2,874 unit pada kos baik pulih RM117.3 juta.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.