| Pangsapuri cipta sejarah27/06/2007 Berita Harian Oleh Sharifah Salwa Syed Akil
 
 Rumah Pangsa Seri Pinang muncul taman perumahan pertama tubuh Badan 
    Pengurusan Bersama di Selangor
 
 SERI KEMBANGAN: Pangsapuri Seri Pinang dekat sini menjadi kawasan perumahan 
    pertama di negara ini yang menubuhkan Badan Pengurusan Bersama (JMB) selepas 
    penguatkuasaan Akta Bangunan dan Harta Bersama (Penyelenggaraan dan 
    Pengurusan) Akta 663, dilaksanakan di seluruh negara 12 April lalu.
 
 Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan 
    negeri, Datuk Mohd Mokhtar Ahmad Dahalan, berkata penubuhan JMB itu bukan 
    saja mencipta sejarah tersendiri untuk pangsapuri Seri Pinang dan Selangor 
    malah turut membuktikan keupayaan pemaju melaksanakan tanggungjawab yang 
    diberikan kepada mereka.
 
 “Kita berbangga kerana negeri Selangor menjadi perintis kepada penubuhan JMB 
    ini dan kita yakin pastinya JMB ini akan menjadi contoh kepada negeri lain 
    di seluruh negara yang berhasrat mewujudkan JMB di negeri masing-masing.
 
 “Pada masa negeri lain masih kabur mengenai kewujudan JMB ini, kita di sini 
    (Selangor) sudah merealisasikan penubuhan berkenaan,” katanya selepas 
    merasmikan penubuhan JMB dan mesyuarat agung tahunan pertama Pangsapuri Seri 
    Pinang di sini.
 
 Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Datuk Liew 
    Yuen Keong dan Pengarah Urusan Pernpark Development Sdn Bhd, Chang Yu Kee.
 
 Mohd Mokthar berkata, JMB adalah satu badan yang terdiri daripada pembeli 
    dan pemaju yang bertanggungjawab untuk menyelenggara dan menguruskan harta 
    bersama sehingga tiga bulan selepas mesyuarat agung pertama pengurusan 
    bangunan (MC) diadakan.
 
 Beliau berkata, JMB akan melantik satu jawatankuasa iaitu, Jawatankuasa 
    Pengurusan Bersama (JMC) yang terdiri daripada pemaju dan lima sehingga 12 
    pembeli untuk melaksanakan tugas dan kuasa JMB. Antara tugas dan kuasa utama 
    JMB ialah menetap dan mengutip caj penyelenggaraan, mengurus kumpulan wang 
    penyelenggaraan bangunan dan menguatkuasakan kaedah dalaman.
 
 “Ada satu badan yang akan bertindak sebagai memantau pengurusan JMB selepas 
    ini supaya pengurusan baru ini lebih profesional,” katanya.
 
 Katanya, menerusi akta 663 itu, pemaju diwajibkan menubuhkan JMB dalam 
    tempoh 12 bulan daripada tarikh akta itu dikuatkuasakan sekiranya bangunan 
    atau tanah yang dicadangkan untuk dipecah bahagi ke dalam petak siap dan 
    penyerahan milikan kosong diserahkan kepada pemilik sebelum berkuatkuasanya 
    akta 663.
 
 “Tidak lewat daripada 12 bulan daripada tarikh penyerahan milikan kosong 
    bangunan kepada pembeli sekiranya bangunan atau tanah yang dicadangkan untuk 
    pecahan bahagi ke dalam petak disiapkan pada atau selepas akta 663 
    berkuatkuasa,” katanya.
 
 Beliau berkata, sekiranya gagal berbuat demikian pemaju akan dikenakan denda 
    sebanyak RM20,000 atau penjara tiga bulan dan jika mereka gagal menyerahkan 
    akuan yang sudah diaudit kepada Pesuruhjaya Bangunan (COB) dalam tempoh enam 
    bulan pemaju terbabit akan dikenakan RM100,000 atau penjara tiga bulan.
 
 “Pada dasarnya, kita tidak mahu pembeli dianiaya pemaju yang tidak 
    bertanggungjawab dan Akta yang dikuatkuasakan ini akan melindungi mereka 
    daripada terus dianiaya oleh pemaju. Sebelum ini bukan saja pembeli tiada 
    hubungan terus sesama mereka malah nasib mereka juga langsung tidak 
    dipedulikan pihak berkenaan,” katanya.
 |