This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

PBT seluruh negara diarah wujud pusat sehenti
26/05/2007 Berita Harian Oleh Amirullah Andi Nur

KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negara diarah mewujudkan pusat sehenti (OSC) di kawasan tadbiran masing-masing sebelum tarikh akhir 13 Jun ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting, berkata PBT tidak mempunyai alasan melengahkan arahan itu kerana tempoh dua bulan serta tenaga kerja yang diberikan mencukupi bagi mereka melaksanakannya.

Beliau berkata, penubuhan pusat itu penting dalam membantu kerajaan meningkatkan sistem penyampaian di samping mengurangkan kerenah birokrasi dan mempercepatkan urusan pemprosesan dokumen projek berkaitan.

“Kita tidak boleh melengahkan satu dasar penting yang diumumkan secara serius oleh Perdana Menteri dan turut diberi komitmen oleh Kabinet dan semua Menteri Besar dan Ketua Menteri.

“Justeru saya tidak nampak kenapa PBT tidak boleh mengambil berat terhadap satu dasar penting yang sudah dimulakan,” katanya selepas merasmikan Ekspo Hartanah Malaysia (Mapex) di Mid Valley, di sini, semalam.

Program selama tiga hari, anjuran Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) itu disertai lebih 60 syarikat dari sekitar Lembah Klang, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Pahang.

Ong berkata, setakat ini, hanya Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah menjadi PBT pertama di negara ini mewujudkan konsep OSC pertengahan bulan ini dan dijangka dituruti Perbadanan Putrajaya dalam tempoh terdekat ini susulan jaminan pengerusinya, Tan Sri Samsudin Osman.

“Saya ada melawat Melaka Bandaraya Bersejarah dan dimaklumkan oleh Ketua Menteri Melaka (Datuk Seri Mohd Ali Rustam), kerja pemprosesan dokumen projek perumahan dapat diselesaikan dalam 60 hari, iaitu separuh dari tempoh ditetapkan Perdana Menteri baru-baru ini.

“Ini satu perkembangan yang baik dan kita jangka lebih banyak PBT akan mewujudkan OSC sebelum tarikh akhir,” katanya.

Mengenai 533 jawatan baru yang akan diwujudkan kementeriannya, Ong berkata, semua penjawat terbabit akan ditempatkan di seluruh negara selepas menjalani latihan.

“Mereka ini kebanyakan pegawai perancang bandar dan desa, dilatih khusus oleh kementerian bagi menjayakan konsep OCS,” katanya.

Difahamkan daripada 533 jawatan itu, 127 ialah jawatan pegawai perancang bandar dan desa gred J48, J44 dan J41, diikuti penolong pegawai perancang bandar dan desa gred J29 (39); pembantu teknik (152); juruteknik perancang bandar dan desa gred J17 (14); juruteknik gred J17 (49); dan selebihnya, pembantu tadbir.

Mengenai isu kenaikan barang tertentu yang penting untuk sektor pembinaan seperti besi, Ong berkata, pihaknya sentiasa mengkaji perkara itu selain mendapatkan maklum balas pemaju.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.