This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Mahkamah tiada CF
26/05/2007 Berita Harian Oleh Norfatimah Ahmad

DBKL belum terima sebarang permohonan: Datuk Bandar

KUALA LUMPUR: Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bernilai RM270 juta yang mengalami keretakan dinding dan kebocoran paip serta siling runtuh selepas tiga minggu beroperasi, tidak mempunyai Sijil Layak Menduduki (CF).

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ab Hakim Borhan, berkata sehingga kini Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) belum menerima sebarang permohonan berhubung CF kompleks di Jalan Duta itu.

“Sepatutnya tidak boleh masuk la... kita akan teliti perkara ini sebelum mengambil tindakan susulan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Ab Hakim berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan semua pihak berkaitan bagi memastikan kompleks berkenaan berada dalam keadaan baik.

Beliau diminta mengulas beberapa kerosakan di kompleks itu, terbaru kebocoran paip di bilik penyelenggaraan bersebelahan tandas wanita yang menyebabkan kafeteria di situ digenangi air sehingga paras buku lali, Rabu lalu.

Pada hari pertama kompleks berkenaan dibuka 3 Mei lalu, beberapa bahagian dinding di laluan pejalan kaki aras tiga berdekatan Mahkamah Majistret 4 pula dikesan mengalami rekahan.

Tiga hari sebelum itu, tiga keping siling asbestos di bilik Setiausaha Hakim Mahkamah Tinggi Sivil, Datuk Abdul Malik Ishak, runtuh dipercayai berpunca daripada kebocoran saluran perenjis air, yang juga sebahagian dari sistem pencegah kebakaran kompleks berkenaan.

Berikutan itu, Badan Pencegah Rasuah (BPR) menyiasat kontraktor yang bertanggungjawab membina kompleks berkenaan. Sepasukan pegawai BPR dilaporkan dihantar ke pejabat kontraktor terbabit, Johawaki Sdn Bhd di Shah Alam, kelmarin dan memeriksa pelan serta spesifikasi kompleks mahkamah itu.

BPR turut menghantar sepasukan unit forensik ke kompleks mahkamah untuk mengkaji sebarang kerosakan dan masalah lain yang boleh menjejaskan struktur bangunan itu.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Pencegahan dan Keselamatan Kebakaran, Jabatan Bomba dan Penyelamat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Sobri Basiran, berkata pihaknya juga tidak menerima permohonan pemeriksaan fizikal bagi mendapatkan sokongan CF.

Beliau berkata, setakat ini hanya dua permohonan diterima membabitkan kompleks berkenaan termasuk satu daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) yang mengemukakan pelan pada 20 Mei 2003 dan diluluskan pada 25 September tahun sama.

Pada 27 Oktober 2005 pula, katanya, perunding yang dilantik JKR mengemukakan permohonan untuk proses sistem perlindungan kebombaan seperti perenjis air dan diluluskan pada 15 November 2005.

“Kedua-dua permohonan itu perlu untuk mengesahkan setiap fakta dalam pelan dan sistem mencegah kebakaran berfungsi dengan baik,” katanya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.