This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Keselamatan lebih terjamin
24/05/2007 Berita Harian Oleh Sharifah Salwa Syed Akil

Penghuni lega Pangsapuri Bunga Raya, Pandan Indah dipasang pagar besi bantu kurangkan kes samun, pecah rumah

KUALA LUMPUR: Kebimbangan hampir 2,000 penghuni Pangsapuri Bunga Raya, Pandan Indah dekat sini terhadap tahap keselamatan mereka akan berakhir apabila pagar besi sepanjang 473 meter yang dipasang di sekeliling kawasan perumahan berkenaan siap.

Sebelum ini penghuni kawasan terbabit berada dalam kegusaran berikutan peningkatan kes jenayah ragut, samun dan pecah rumah yang semakin berleluasa kebelakangan ini.

Setiausaha Perbadanan Pengurusan Pangsapuri Bunga Raya, S Venkateswaran, berkata pembinaan pagar besi yang menelan kos RM45,000 itu sudah bermula dan akan siap sepenuhnya penghujung Jun depan.

Beliau berkata, pihaknya berharap pemasangan pagar di sekeliling perumahan ini bukan saja dapat membantu mengurangkan kadar jenayah tetapi juga dapat menjamin keselamatan penduduk.

“Kebimbangan penduduk berasas kerana sebelum ini berlaku beberapa kes membabitkan penduduk yang diragut sehingga menyebabkan kecederaan serius kepada mangsa.

“Kita berharap kejadian seperti ini tidak berulang dan langkah memasang pagar di sekeliling kawasan perumahan ini adalah cara terbaik untuk mengatasi masalah berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Blok BA, Pangsapuri Bunga Raya di Jln Pandan Indah 4/14C Pandan Indah di sini, baru-baru ini.

Sebelum itu, Venkateswaran menerima lawatan kira-kira sejam daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Cempaka, Datuk Mad Aris Mad Yusof yang meninjau perkembangan terkini projek pembinaan pagar besi itu

Mad Aris turut menghulurkan bantuan kewangan bernilai RM5,000 bagi membolehkan projek membina pagar dilakukan segera dalam usaha mengatasi masalah jenayah di kawasan berkenaan.

Antara kemudahan lain dibina termasuk penukaran pintu masuk ke kawasan yang lebih selamat, pembinaan tempat menunggu bas yang lebih selesa dan perkhidmatan kawalan keselamatan swasta membabitkan dua pengawal keselamatan.

“Penghuni perlu membayar RM20 sebagai bayaran tambahan bagi membolehkan kita mengubah dua pengawal keselamatan untuk mengawal perumahan ini dari dicerobohi orang luar.

“Projek ini adalah projek keselamatan penduduk dan bukannya untuk individu. Jadi, saya berharap tiada sebarang masalah yang timbul kerana apa yang kita lakukan sekarang adalah semata-mata untuk mengatasi masalah berkenaan,” katanya.

Venkateswaran berkata, pembinaan pagar besi berkenaan pernah dirundingkan dalam satu mesyuarat agung khas pada Ogos tahun lalu dan beberapa permohonan diajukan kepada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Katanya, pihaknya membuat permohonan rasmi kepada MPAJ pada Ogos tahun lalu dan mendapat kelulusan pagar berkenaan pada April lalu. Kini ia sedang dijalankan dan kita berharap tiada berlaku sebarang kelewatan mengenainya.

“Jumlah kos yang perlu dibayar adalah RM45,000 hasil sumbangan Adun dan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Ong Tee Keat selain kutipan yuran penyelenggaraan penduduk,” katanya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.