This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

OSC dilaksana percepat kelulusan projek
15/04/2007 Utusan Malaysia

SUBANG 14 April – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan melaksanakan sistem Pusat Setempat (OSC) bagi melancarkan proses permohonan dan kelulusan sesuatu projek pembangunan yang dikemukakan oleh pihak pemaju.

Ketua Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia, Datuk Mohd. Fadzil Mohd. Khir berkata, OSC melibatkan sistem aliran kerja yang terperinci dalam tempoh yang ditetapkan.

Menurutnya, ia antara lain dapat mempermudah dan menyegerakan pemberian kelulusan oleh pihak-pihak yang berkaitan terhadap sesuatu projek pembangunan yang dicadangkan oleh pihak pemaju.

‘‘Ia untuk pemaju yang memilih konsep Bina Kemudian Jual (BKJ), Projek Impak Tinggi dan Pelaburan Asing serta projekprojek kerajaan supaya mendapat kelulusan dalam tempoh empat bulan sahaja.

‘‘Begitu pun bagi pemaju yang memilih konsep Jual Kemudian Bina (JKB), mereka juga diberi perhatian agar permohonan diluluskan dalam tempoh tidak melebihi enam bulan,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Penambahbaikan Sistem Penyampaian Prosedur Dan Proses Serta Pelaksanaan Pusat Setempat Bagi Cadangan Pemajuan pada Persidangan Mempertingkatkan Sistem Penyampaian Perkhidmatan Kerajaan, di sini hari ini.

Mohd. Fadzil berkata, permohonan pecah sempadan dan tukar syarat tanah misalnya dicadangkan tidak melebihi 25 hari, begitu juga untuk permohonan penyerahan balik dan pemberi milikan semula.

‘‘Jika berlaku sebarang pindaan, proses diambil tidak melebihi 38 hari sebelum dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Setempat seterusnya,’’ katanya.

Menurutnya, intipati kepada penambahbaikan sistem penyampaian permohonan ini adalah melalui bidang kuasa jawatankuasa 0SC.

‘‘Mereka mempunyai kuasa menimbang dan membuat keputusan bagi permohonan kebenaran merancang, pelan bangunan, kelulusan perancangan, permohonan serentak pecah sempadan dan tukar syarat,’’ katanya.

Beliau berkata, salah satu aspek penting dalam hala tuju baru ini, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan menubuhkan Pasukan Pemantauan.

‘‘Antara peranannya ialah menerima maklum balas daripada pihak-pihak terlibat dan orang awam dan membuat penilaian bagi tujuan penambahbaikan sistem.

‘‘Ini termasuklah pelaksanaan dasar-dasar semasa kerajaan tempatan, memberi bantuan khidmat nasihat dan teknikal serta lawatan ke PBT yang memerlukan bantuan dan mendapatkan laporan maklum balas pelaksanaan OSC daripada PBT, setiap tiga bulan,’’ katanya.
 

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.