This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Inspektorat pantau PBT
14/04/2007 Utusan Malaysia Oleh Sadatul Mahiran Rosli

KUALA LUMPUR 14 April – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan menubuhkan Pasukan Inspektorat bagi memantau pelaksanaan penambahbaikan sistem pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam masa dua bulan dari sekarang.

Menterinya, Datuk Seri Ong Ka Ting berkata, penubuhan pasukan itu telah diluluskan oleh Kabinet baru-baru ini dan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam.

Menurutnya, pihak kementerian akan mendapatkan kelulusan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan bagi permohonan jawatan baru dan pegawai yang sesuai untuk pasukan itu.

“Sebagai permulaan, beberapa jawatan strategik Pasukan Inspektorat akan dilantik dan kemudiannya barulah diperluaskan kepada jawatan lain, bergantung kepada mekanisme yang ditetapkan untuk pemantauan dan mendapat maklum balas.

“Pasukan Inspektorat dipertanggungjawabkan untuk membantu, memantau, mendengar aduan dan membuat laporan mengenai pelaksanaan empat inisiatif baru yang diperkenalkan dalam penambahbaikan sistem pentadbiran PBT.

“Segala laporan akan dikumpul dan dikemukakan kepada Jemaah Menteri dan Majlis Negara Kerajaan Tempatan selepas dua bulan pelaksanaan penambahbaikan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan perbincangan dengan wakil PBT, Pejabat Tanah dan Galian, Persatuan Pembeli Rumah, pemaju perumahan dan profesional, di sini hari ini.

Sesi perbincangan itu diadakan sempena Persidangan Mempertingkatkan Sistem Penyampaian Perkhidmatan Kerajaan yang diadakan selama dua hari dan berakhir hari ini.

Semalam, kerajaan mengumumkan empat inisiatif bagi penambahbaikan sistem pentadbiran PBT iaitu penubuhan pusat sehenti di setiap PBT bagi mempercepatkan proses permohonan pembangunan hartanah dari mula hingga akhir dengan kelulusan dibuat di satu tempat sahaja supaya lebih sistematik.

Inisiatif lain ialah Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) bagi menggantikan Sijil Layak Menduduki (CFO), penggubalan Akta Bangunan dan Harta Bersama yang akan mewujudkan fungsi Pesuruhjaya Bangunan sebagai perantara antara pemilik unit strata dengan pihak pengurusan bangunan dan pelancaran Konsep Bina dan Jual.

Sementara itu, Ka Ting turut memberi jaminan bahawa pembinaan rumah kos rendah tidak akan terjejas walaupun kewujudan konsep bina dan jual yang membenarkan pemaju menukar syarat pembinaan rumah.

“Jika sistem sedia ada, pemaju disyaratkan membina rumah kos rendah tetapi dengan konsep bina dan jual, pemaju boleh menggantikannya kepada pembinaan rumah kos sederhana rendah.

“Sebenarnya, kerajaan telah mengarahkan agensi kerajaan seperti Jabatan Perumahan Negara, Syarikat Perumahan Negara, Perbadanan Negeri dan agensi kerajaan lain untuk terus membina rumah mampu milik atau mampu disewa bagi memastikan jumlah rumah kos rendah mencukupi,” jelasnya.

Tambah beliau, konsep bina dan jual adalah pelengkap kepada keperluan pembinaan rumah kos rendah dan sederhana rendah bagi memenuhi permintaan yang seimbang antara kedua-dua jenis rumah itu.

“Namun, jangan lupa, masih banyak lagi projek yang masih dan akan mengikuti sistem sedia ada, kerana bukan semua pemaju akan menggunakan konsep bina dan jual. Pemaju masih diwajibkan membina rumah kos rendah,” tegasnya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.