This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Tiga kawasan berisiko tinggi tanah runtuh
24/03/2007 Utusan Malaysia Oleh Abdul Yazid Alias

SHAH ALAM 23 Mac – Kawasan lebuh raya, pusat peranginan dan perumahan di tebing dan tanah tinggi di semenanjung terutama Gombak, Selangor; Sabah dan Sarawak didapati berisiko tinggi terdedah kepada kejadian tanah runtuh berikutan hujan lebat berterusan sepanjang minggu ini.

Pusat Penyelidikan Hakisan Tanah Negara (NASET), Universiti Teknologi Mara (UiTM) mendapati, kawasan-kawasan terbabit paling berisiko berlaku kejadian itu memandangkan struktur tanahnya yang lemah dan mudah terjejas.

Pengarahnya, Prof. Dr. Roslan Zainal Abidin berkata, keadaan itu disebabkan air hujan yang mengalir ke dalam tanah akan bertakung dan menyebabkan pergerakan dalaman terhadap tanah tersebut.

Katanya, hasil kajian yang dijalankan oleh NASET turut mengenal pasti tiga kategori hakisan yang sering berlaku di kawasan terbabit akibat kesan aliran air hujan di permukaan tanah di samping tidak mempunyai sistem pengaliran yang baik.

“Berdasarkan hasil kajian yang dilakukan, kita telah kenal pasti tiga kategori hakisan iaitu hakisan tebing, alur dan gegeluk disebabkan aliran air hujan di kawasan terbabit.

“Aliran ini sebenarnya berpotensi menyebabkan kejadian tanah runtuh sekiranya berlaku hujan lebat sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.

“Fenomena-fenomena inilah antara penyebab utama kejadian tanah runtuh yang sering berlaku di negara ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas fenomena tanah runtuh yang dijangka berlaku di negara ini ekoran perubahan cuaca yang tidak menentu.

Fenomena tersebut jelas dibuktikan ekoran kejadian tanah runtuh yang berlaku di Presint 9, Putrajaya semalam yang berpunca daripada pergerakan tanah bukit akibat hujan lebat yang berlaku hanya 10 meter dari pangsapuri kakitangan awam.

Kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu menyebabkan lebih 1,200 penghuni bertempiaran lari meninggalkan blok kediaman mereka untuk menyelamatkan diri.

Malah, sebanyak 25 buah kereta yang diletakkan di kawasan itu turut tertimbus menyebabkan para pemilik kenderaan terbabit kerugian lebih RM1 juta.

Dalam perkembangan lain, Roslan turut meminta supaya pihak berkenaan memberi tumpuan terhadap kawasan-kawasan berisiko itu bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

Katanya, langkah seperti membina tembok penghadang, menyediakan saliran air hujan serta memberi amaran awal kepada orang ramai dapat membantu mengurangkan risiko kejadian seumpama itu.

“Dengan mengenal pasti kawasan ini, ia membolehkan kita melaksanakan langkah awal bagi mengatasi masalah ini daripada bertambah buruk,” ujarnya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.