This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Rumah impian terbengkalai
18/12/2007 Berita Harian Oleh Ahmad Syahrul Derauh

BELUM SIAP: Deretan rumah terbengkalai di kawasan perumahan Perpaduan Height, Senaling, Kuala Pilah mendapat rungutan pembeli.

Projek perumahan di atas bukit usaha sama MDKP dengan sebuah syarikat pemaju gagal disiapkan sejak dimulakan pada 1999

KUALA PILAH: Lokasinya di atas bukit yang dikelilingi alam semula jadi menyamankan menyebabkan kawasan perumahan Perpaduan Height di Senaling, dekat sini menjadi rebutan ramai pembeli kerana potensinya untuk muncul sebagai taman perumahan tercantik di bandar ini.

Tidak hairanlah, kebanyakan daripada 165 unit rumah kos sederhana setingkat, 55 rumah kos rendah dua tingkat dan tujuh rumah kedai yang dirancang dibangunkan mudah memikat pembeli sejak pembinaan projek itu dimulakan pada 1999.

Ramai yang tidak sabar untuk berpindah ke rumah baru yang sepatutnya siap pada 2001 itu, tetapi dari setahun ke setahun dan ribuan ringgit dikeluarkan untuk membayar ansuran bank, penantian mereka berakhir dengan kekecewaan.

Selepas hampir lapan tahun berlalu, Perpaduan Height terus menjadi bualan ramai, tetapi kebelakangan ini bahan bualannya bukan kerana lokasi yang cantik, tetapi akibat projek berkenaan terbengkalai dan belum ada tanda mahu dipulihkan.

Apa yang tersergam di kawasan projek kini adalah adalah deretan rumah terbengkalai yang sudah merekah serta jalan masuk dan sekitar taman berlubang-lubang dan menyakitkan mata 213 pembeli yang sebelum ini berangan-angan tinggal di rumah sendiri sambil menikmati keindahan alam dari atas bukit.

TERTIPU: Antara pembeli kecewa selepas projek tersebut terbengkalai sejak enam tahun lalu tanpa sebarang penyelesaian.

Sebahagian besar daripada mereka adalah kakitangan awam yang kecewa bukan saja kerana terpaksa menanggung bebanan hutang pinjaman, malah impian tinggal di rumah sendiri berkecai dan terpaksa menyewa di rumah lain.

Seorang pembeli, Mohd Salehudin Abdullah, 42, berkata rumah yang dibelinya dibangunkan dalam fasa pertama projek pembinaan perumahan itu yang dirancang dimajukan dalam lima peringkat yang dijangka siap sepenuhnya pada 2001.

"Mengikut perancangan, kawasan ini berdekatan Masjid Saidina Ali dan Taman Bukit Intan, selain dilengkapi kemudahan seperti sekolah, kompleks sukan dan padang permainan kanak-kanak yang menyebabkan saya tertarik untuk membelinya.

"Bagaimanapun, saya terkejut selepas perjanjian ditandatangani dan projek dimulakan, lokasi rumah saya dipindahkan ke tempat lain yang terletak kira-kira satu kilometer dari lokasi asal," katanya.


BAHAYA: Jalan masuk sekitar taman merekah dan berlubang.

Rakannya, Abdullah Sani Sulaiman, 35, pula berkata projek berkenaan dikesan mula terbengkalai pada 2001 menyebabkan kebanyakan pembeli merungut kerana dibebani hutang pinjaman bank serta bayaran sewa rumah.

Katanya, mereka sudah melakukan pelbagai cara, termasuk mengajukan masalah berkenaan kepada pihak atasan, tetapi sehingga kini tiada sebarang tindakan susulan diambil, manakala pemaju projek terbabit pula menghilangkan diri.

"Pada 11 September lalu, kami mengadakan sesi perbincangan dengan Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP) yang memberi jaminan masalah ini dapat diselesaikan selepas mereka mencari pemaju baru, tetapi kami tidak yakin dengan jaminan itu," katanya.

Seorang lagi pembeli, Lee Ching Mei, 36, berkata selepas mendapati projek terbabit terbengkalai, kebanyakan pembeli yang meminjam bank, membuat keputusan tidak menjelaskan ansuran sehingga ada yang dikenakan tindakan mahkamah dan disenarai hitam.

"Mereka terpaksa berbuat demikian kerana tidak mampu menanggung hutang bank, sedangkan rumah tidak siap dan dalam masa sama terpaksa menyewa di tempat lain. Malah, saya difahamkan ada juga pembeli yang mengambil pinjaman kerajaan masih membayar ansuran sehingga kini," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pilah, Datuk Norhayati Omar, berkata masalah pembeli itu mendapat perhatian kerajaan negeri yang sedang berusaha menyelesaikannya sebaik mungkin.

Beliau berkata, kawasan perumahan itu adalah projek kerjasama sebuah syarikat pemaju dan MDKP, tetapi kini disenaraikan sebagai projek terbengkalai selepas pemaju terbabit dikatakan tidak bersungguh-sungguh menyiapkan projek berkenaan.

Berikutan itu, katanya, MDKP kini sedang berusaha mencari pemaju yang berminat menyambung semula projek berkenaan dan dalam masa sama membantu meringankan masalah pembeli di situ.

"Saya juga berusaha menyelesaikan masalah ini, termasuk mengatur pertemuan dan sesi dialog di antara pembeli dan bank, baru-baru ini bagi membincangkan cara meringankan beban pinjaman pembeli terbabit.

"Dalam perbincangan itu juga, mereka yang mendapatkan pinjaman kerajaan dipertimbangkan untuk pinjaman kali kedua sekiranya mahu membeli rumah lain," katanya, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat negeri.

Norhayati berkata, sekiranya tidak ada pemaju baru yang berminat membangunkan projek berkenaan, kerajaan negeri akan memohon bantuan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), tetapi ia mungkin mengambil masa kerana SPNB mengutamakan projek terbengkalai kritikal, terutama yang mencecah 20 tahun.

FAKTA: Perpaduan Height

Terletak kira-kira tujuh kilometer daripada bandar Kuala Pilah
213 unit kediaman kos rendah, sederhana dan kedai
Harga jualan antara RM35,000 hingga RM65,000.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.