This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Sri Townvilla: Pemaju jamin masalah selesai sebulan
15/11/2007 Utusan Malaysia Oleh Au Yeong How

KUALA LUMPUR 14 Nov. – Pemaju perumahan Sri Townvilla Sri Gombak, KA Resources Sdn. Bhd. memberi jaminan akan menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh pembeli rumah tersebut dalam tempoh sebulan lagi.

Jurucakap syarikat itu berkata, pihaknya mengakui segala masalah yang dibangkitkan dan sedang berusaha untuk mengatasinya.

‘‘Walaupun tembok penahan tanah yang runtuh tersebut terletak di luar kawasan projek berkenaan, tetapi kami berusaha untuk mengatasinya demi kepentingan pembeli.

‘‘Kami sedang berusaha mematuhi keperluan teknikal Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram),’’ katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan Utusan Malaysia semalam mengenai rintihan seramai 42 pembeli rumah Sri Townvilla, Sri Gombak yang menggesa pemaju memperbaiki dinding penahan tanah runtuh di belakang kediaman mereka.

Menurut penduduk terbabit, kegagalan berbuat demikian dikenal pasti menjadi punca kelewatan pengeluaran sijil layak menduduki (CF) oleh Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Selain itu, pembeli turut meminta pemaju segera menyelesaikan masalah bekalan air ke rumah itu yang telah tertangguh selama dua tahun walaupun bayaran pendahuluan telah dijelaskan.

Berdasarkan perjanjian jual beli, Sri Townvilla yang dijual pada harga RM199, 000 hingga RM230,000, sepatutnya siap Jun 2006 tetapi mengalami kelewatan sehingga Januari tahun ini.

Jurucakap itu berkata, pihaknya akur dengan keperluan pakar runding itu walaupun hakikatnya, dinding penahan tanah runtuh terletak di luar kawasan projek.

‘‘Kami akan cuba menyelesaikan isu tersebut sebaik mungkin walaupun terpaksa berbelanja besar,’’ katanya.

Beliau menambah, syarikat itu juga akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam masa terdekat bagi mencari penyelesaian kepada beberapa masalah berkaitan di projek berkenaan.

Menurutnya, pada masa ini syarikat tersebut telah berjaya mematuhi lima daripada tujuh kelulusan yang diperlukan oleh pihak berkuasa sebelum meluluskan CF.

‘‘Kami sedang berusaha keras menyelesaikan masalah ini,’’ katanya.

Sementara itu, Pengarah Perhubungan Awam MPS, Mohd. Zin Masoad ketika dihubungi mengesahkan pihaknya masih belum menerima sebarang permohonan CF daripada pemaju itu.

“Pemaju belum lagi menghantar permohonan untuk CF kerana masih belum mematuhi keperluan IKRAM dan JPS.

“Adalah menjadi tanggungjawab pemaju untuk mematuhi syarat-syarat yang dituntut IKRAM iaitu meneguhkan cerun itu,’’ tegasnya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.