This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Selangor dijangka senarai hitam 16 pemaju
26/11/2007  Berita Harian


SHAH ALAM: Sebanyak 16 syarikat pemaju bakal disenarai hitam oleh kerajaan Selangor kerana gagal mengemukakan permohonan mendapatkan hak milik strata bagi setiap unit kediaman bertingkat yang dibina.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ramli Mahmud, berkata kerajaan negeri akan membekukan kelulusan bagi sebarang projek di negeri itu yang dipohon pemaju terbabit pada masa depan serta akan menghantar senarai 16 pemaju perumahan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan mencadangkan lesen syarikat terbabit ditarik balik.

Pemaju yang berdepan tindakan itu ialah Tetuan Air Hitam Tin Dredging, Tanco Development Sdn Bhd, Crimson Sdn Bhd, Mega Idea Sdn Bhd, Maxisegar Construction Sdn Bhd, Talam Industries Sdn Bhd, Medan Prestasi Sdn Bhd.

Jiwa Murni Sdn Bhd, Melombong Dan Perumahan Sdn Bhd, Rasmi Sdn Bhd, Lee Man Construction Sdn Bhd, Nich Murni Sdn Bhd, Lebby Sdn Bhd, Perwira Indera Sakti, Juru Bina Tenaga Sdn Bhd dan Ukay Land Sdn Bhd.

Pemaju terbabit tidak menghantar permohonan sekali gus bermakna tidak membayar premium tanah atau permohonan dihantar tidak lengkap dan tidak boleh diproses.

Ramli berkata, pihaknya memberi tempoh dua minggu untuk mengemukakan permohonan hak milik strata bermula hari ini bagi mengelak dikenakan tindakan itu.

Semua PTG telah diarah untuk membuka kaunter khas di Bahagian Strata untuk urusan runding cara dengan pemaju dan bagi yang masih ingkar kita akan mengambil tindakan keras.

Beliau berkata, kegagalan syarikat terbabit memohon hak milik strata menyukarkan pemilik unit kediaman atau bangunan itu menjalankan urus niaga sama ada menjual, cagar atau pajak jika mengalami kesusahan.

Ramli berkata, sebanyak 926 pemaju pula gagal membayar yuran proses permohonan hak milik strata walaupun permohonan sudah diluluskan menyebabkan kerajaan negeri menanggung bayaran tertunggak yang dianggarkan RM10 juta. Semua syarikat terbabit sudah diberi tempoh selama dua bulan membuat bayaran dan tindakan senarai hitam akan diambil jika ingkar dengan arahan itu.
Sementara itu, sebanyak 130,328 surat hak milik strata dikeluarkan membabitkan 2,188 pemaju, manakala 101,781 petak masih dalam proses dan dijangka selesai akhir tahun ini.

Dalam perkembangan lain, 1.1 juta permohonan untuk menukar status tanah daripada hak milik sementara (QT) kepada hak milik kekal (FT) sudah diterima dan daripada jumlah itu 672,000 permohonan didaftarkan, manakala 288,000 masih dalam proses dan dijangka selesai akhir tahun ini.

Katanya, pemilik tanah yang mempunyai masalah dengan pengeluaran FT boleh berurusan di pejabat tanah dan daerah dengan membawa bersama salinan QT.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.