This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Beku projek jika gagal bayar premium tanah

24/11/2007 Utusan Malaysia By Azian Aziz

SHAH ALAM 23 Nov. - Kerajaan Selangor akan menyenarai hitam dan membekukan projek pembangunan 16 syarikat pemaju perumahan sekiranya mereka gagal menjelaskan premium tanah dan yuran hak milik strata dalam tempoh dua minggu, bermula Isnin ini.

Kerajaan negeri juga akan memohon kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk menarik balik lesen kesemua syarikat pemaju terbabit.

Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Ramli Mahmud berkata, tindakan tegas itu terpaksa diambil kerana kerajaan negeri telah terlalu lama menunggu tindak balas daripada syarikat-syarikat berkenaan.

Berdasarkan siasatan, katanya, terdapat syarikat (daripada 16 yang tersenarai) telah mengambil yuran daripada pembeli sejak 2003 tetapi tidak menyelesaikan urusan hak milik strata sehingga kini.

‘‘Kerajaan negeri begitu komited untuk mempercepatkan pendaftaran hak milik strata ini dan Pejabat Tanah dan Galian Selangor diarah untuk membuka kaunter khas di Bahagian Strata untuk urusan runding cara dengan 16 syarikat pemaju yang berkaitan dalam tempoh dua minggu.

‘‘Mana-mana syarikat pemaju yang ingkar atau tidak memberikan kerjasama akan diambil tindakan tegas,” kata beliau pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau memberitahu, syarikat tersebut ialah Maxisegar Construction Sdn. Bhd., Talam Industries Sdn. Bhd., Ukay Land Sdn. Bhd., Tetuan Air Hitam Tin Dredging, Tanco Development Sdn. Bhd., Crimson Sdn. Bhd., Mega Idea Sdn. Bhd. dan Juru Bina Tenaga Sdn. Bhd.

Lapan lagi syarikat ialah Medan Prestasi Sdn. Bhd., Jiwa Murni Sdn. Bhd., Melombong dan Perumahan Sdn. Bhd., Rasmi Sdn. Bhd., Lee Man Construction Sdn. Bhd., Nich Murni Sdn. Bhd., Lebby Sdn. Bhd., dan Perwira Indera Sakti.

Ramli berkata, selain 16 syarikat yang tersenarai, kerajaan negeri juga sedang menunggu pembayaran yuran daripada 926 pemaju yang telah diluluskan permohonan hak milik strata mereka.

Sehubungan itu, kata beliau, semua pemaju tersebut diminta menjelaskan yuran bagi membolehkan proses pengeluaran hak milik strata terhadap projek perumahan mereka yang telah terjual, dikeluarkan.

‘‘Mereka diberi tempoh dua bulan untuk menyelesaikan yuran dan sekiranya gagal berbuat demikian, syarikat mereka juga akan disenaraihitamkan,” tegasnya.

Katanya, jumlah keseluruhan yuran dan premium yang masih belum dibayar dianggarkan bernilai RM10 juta.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.