This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Rumah kecil bayar mahal
29/01/2007 Harian Metro Oleh Noor Nastassia Mohamad Redza

PETALING JAYA: Persatuan Kebajikan Penduduk Blok C dan D Flet Petaling Utama di sini, mahu pihak pemaju membayar wang pampasan RM7,000 kepada setiap penduduk tingkat bawah flet itu yang tertunggak hampir lima tahun.

Ini berikutan keluasan rumah itu lebih kecil berbanding keluasan di tingkat lain, namun penduduk terpaksa membayar harga yang sama sebanyak RM42,000 untuk membeli kediaman mereka.

Masalah itu antara yang dibangkitkan dalam mesyuarat kali pertama 2007 anjuran persatuan penduduk di situ, semalam.

Sehubungan dengan masalah itu, penduduk bercadang melantik peguam untuk mengambil tindakan terhadap pemaju bagi pihak pembeli.

Timbalan Presiden Persatuan Penduduk, K Puspanathan berkata, pihak pemaju berjanji membayar semula wang lebihan yang dibayar penduduk tingkat bawah disebabkan harganya yang tidak memadai dengan keluasan sebenar.

“Namun, perkara itu berlarutan sejak hampir lima tahun lalu dan penduduk diberi janji kosong tanpa ada sebarang tindakan daripada pemaju,” katanya selepas mesyuarat berkenaan.

Di samping itu, katanya penduduk juga menghadapi masalah keselamatan kerana ada antara penduduk yang kehilangan motorsikal atau kereta.

Setiausaha Persatuan Penduduk, Ismail Aziz, berkata penduduk blok C dan D memerlukan sebuah pondok polis bagi mengawasi kawasan itu yang tidak selamat pada waktu malam.

“Kami sudah menghantar surat tetapi pihak polis mengatakan mereka tidak mempunyai anggota yang cukup mengawasi kawasan berkenaan, namun ada polis yang meronda kawasan ini pada waktu malam,” katanya.

Selain itu, penduduk mahukan sebuah taman permainan dibangunkan di kawasan itu berikutan anak-anak mereka tiada tempat yang sesuai untuk bermain melainkan di atas jalan raya yang boleh mendatangkan bahaya kepada mereka.

Ismail berkata, tapak untuk membangunkan taman permainan sudah ada tetapi pihak pemaju memberi alasan ada permohonan yang dibuat supaya tapak itu dijadikan sebuah surau.

“Di sini, sudah ada tiga surau didirikan dan pada saya, tidak perlu menambah sebuah lagi kerana majoriti penduduk di sini kaum India, jadi saya rasa taman permainan lebih diperlukan supaya anak-anak boleh bermain manakala ibu bapa boleh bersenam dengan selesa disitu,” katanya.

Dalam mesyuarat itu juga, pihak persatuan penduduk mahu sebuah akhbar berbahasa Tamil memohon maaf kepada mereka berikutan dakwaan persatuan yang ditubuhkan itu tidak sah, walhal sijil sah Persatuan Kebajikan Penduduk Blok C dan D Flet Petaling Utama dikeluarkan pendaftar penubuhan pada 25 September 2006 lalu.

Berikutan laporan itu difahamkan, ada antara penduduk tidak mahu mendaftar sebagai ahli persatuan penduduk dan tidak yakin dengan penubuhan persatuan itu berikutan kenyataan yang dikeluarkan khbar itu.

Persatuan akan mengambil tindakan mahkamah jika pihak akhbar berkenaan tidak menarik balik kenyataan itu dan diminta memohon maaf kepada penduduk di situ.

Selain mesyuarat, penduduk diberi poster serta risalah mengenai wabak denggi dari pihak Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan pameran keselamatan jalan raya oleh pihak Polis Diraja Malayasia (PDRM) cawangan trafik Petaling Jaya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.