This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Pemaju bermasalah disenarai hitam
30/01/2007 Berita Harian

KLANG: Tindakan tegas perlu diambil terhadap pemaju hartanah yang gagal memenuhi keperluan dalam perjanjian jual-beli, khususnya dalam menyediakan keperluan pembangunan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo berharap pemaju bermasalah, disenarai hitam dan tidak dibenarkan melaksanakan projek di kawasan lain kerana ia menyusahkan banyak pihak.

"Saya mengalu-alukan tindakan tegas Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), malah kerajaan negeri juga ada menerima beberapa aduan mengenai perkara sama," katanya pada sidang media selepas majlis Inventori Permasalahan Rakyat (IMR) di sini, baru-baru ini.

Pada IMR pertama kali tahun ini, sebanyak 129 aduan membabitkan isu tanah, bangunan, perkhidmatan pihak berkuasa tempatan dan kepemimpinan, diterima.

Program itu sedikit kecoh apabila seorang lelaki ‘mengamuk’ selepas aduannya membabitkan masalah tanah berstatus lesen menduduki sementara (TOL), ditolak sebelum ditenangkan polis.

Dr Mohamad Khir berkata, pemaju perumahan yang gagal mematuhi perjanjian jual-beli di negeri ini disenarai hitam tetapi pembatalan lesen pemaju bukan bidang kuasa kerajaan negeri.

Mengenai sama ada rumah yang dibina pemaju hartanah tanpa lesen akan diroboh, Dr Mohamad Khir berkata, kerajaan negeri tidak boleh mengambil tindakan sewenang-wenangnya kerana membabitkan harta orang ramai.

"Meroboh (bangunan) akhirnya akan merugikan rakyat. Ia adalah tindakan akhir. Pemaju yang sepatutnya dihukum, bukan orang ramai," katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Mohamad Khir berkata, penasihat undang-undang di agensi dan PBT di Selangor diarah mengikuti kursus pengetahuan mengenai Akta Kerajaan Tempatan 1976 bagi memantapkan pemahaman undang-undang itu.

Katanya, sebahagian pengarah dan penasihat undang-undang di agensi terbabit tidak memahami undang-undang dan akta berkenaan, menyebabkan banyak kes mahkamah, kalah.

Beliau berkata, penasihat undang-undang sudah diarahkan diserap ke Jabatan Undang-undang Negeri sekurang-kurangnya tiga bulan bagi membolehkan mereka memahami akta itu.

"Penguat kuasa PBT juga tidak terdedah dengan Akta Kerajaan Tempatan kerana kebanyakan mereka diambil bekerja dengan kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)," katanya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.