This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Pemaju serah notis batal beli
26/10/2007 Berita Harian Oleh Hanisah Selamat

Pembeli pangsapuri kos rendah Taman Puncak Jalil keliru

KUALA LUMPUR: Sepatutnya pangsapuri kos rendah Fasa 16 A Taman Puncak Jalil, Seri Kembangan, di sini siap sepenuhnya menjelang akhir tahun ini, namun selepas projek itu dimulakan pada 2003, hanya binaan asas saja jelas kelihatan.

Lebih mengecewakan pembeli yang rata-rata individu berpendapatan rendah adalah apabila pemaju mengirimkan notis bersama surat jawapan meminta mereka membatalkan pembelian tanpa sebarang syarat dan terma yang dipersetujui kedua-dua pihak pada 16 Oktober lalu.

Bimbang dengan janji manis pemaju yang sampai kini tidak mengotakan janji untuk membayar semula deposit, persatuan pembeli flet berkenaan akan menggunakan khidmat peguam bagi memastikan urusan pembayaran dilakukan secepat mungkin sekali gus mengelakkan penipuan.

Wakil Pembeli Rumah Taman Puncak Jalil Fasa 16 A, Yong Siew Wei berkata, jawatankuasa sementara yang ditubuhkan kira-kira tiga bulan lalu itu akan memastikan pemaju tidak lari daripada tanggungjawab untuk menjelaskan segala pembayaran yang sudah dilakukan pembeli.

Beliau berkata, sebelum ini pemaju memberi alasan projek itu terpaksa dibatalkan berikutan masalah jambatan menghubungkan kawasan itu tidak dapat dibina namun dalam notis terbaru dikatakan pembatalan disebabkan kerajaan mengambil tanah mereka untuk projek lebuh raya.

"Kami sudah tidak mahu mendengar alasan pemaju lagi kerana yang penting adalah wang yang sudah kami laburkan untuk flet ini malah ada pembeli yang sudah terpaksa membayar faedah pinjaman kepada bank.

"Walaupun sudah bertemu wakil pemaju, mereka seakan berdolak dalik malah kali terakhir memaklumkan akan membayar semula wang kami 15 Oktober lalu. Sampai sekarang tiada seorang pun antara kami menerima wang itu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mesyuarat kedua yang diadakan bersama kira-kira 300 pembeli flet terbabit yang turut dihadiri wakil Persatuan Pembeli Rumah.

"Ini adalah perjumpaan kedua dan kami risau jika ada di antara pembeli yang menandatangani surat jawapan itu tanpa menelitinya apabila tidak dinyatakan secara jelas bila tarikh pembayaran itu akan dilakukan," katanya.

Yap berkata, apartmen kos rendah 18 tingkat dengan tiga blok bangunan difahamkan bakal menempatkan 2,200 unit kediaman pada harga bermula RM42,000 selain dilengkapi taman permainan dan surau.

Hingga kini, masih ramai yang tertanya-tanya bagaimana kesudahan nasib mereka apabila beban pinjaman ini tidak membolehkan mereka membeli flet kos rendah lain.

Sementara itu, seorang pembeli, Yap Wan Chik, 29, berkata mereka menerima surat daripada pemaju bertarikh 21 Julai menyatakan projek itu tidak dapat diteruskan tetapi pemaju berjanji akan membayar semua wang pembeli termasuk kos perjanjian sewa beli.

"Kami diberikan borang untuk ditandatangani sebelum menerima wang yang dijanjikan diberi dan mereka mahu menjelaskan pembayaran itu pada September lalu malah selepas tarikh baru iaitu 16 Oktober, tidak sesen pun dihulurkan.

"Diharap kerajaan sedia membantu selain menyenarai hitam pemaju seperti ini yang cuba mengambil kesempatan sedangkan kami hanya individu berpendapatan rendah. Setiap sen yang kami keluarkan begitu bermakna," katanya.

Terdahulu, jawatankuasa persatuan pembeli turut mengadakan pertemuan antara pemaju, wakil pembeli serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang mana pemaju berjanji menjelaskan semua bayaran selepas Aidilfitri.

"Biarlah selepas ini pemaju berurusan dengan peguam yang kami lantik. Segala dokumen asal perjanjian juga akan kami serahkan kepada peguam untuk tindakan lanjut," katanya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.