This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Sebanyak 5,049 Unit Rumah Terbengkalai Sedang Dibaik Pulih SPNB
11/09/2006 Bernama

KUALA LUMPUR, 11 Sept (Bernama) -- Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) sedang melaksanakan pemulihan bagi lapan projek perumahan terbengkalai membabitkan 5,049 unit rumah dan meneliti 42 lagi projek perumahan terbengkalai sama ada sesuai atau tidak untuk dibaikpulih.

Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata sehingga kini SPNB telah berjaya menyiapkan serta mendapatkan sijil layak menduduki bagi 11 buah projek perumahan yang terbengkalai membabitkan 4,575 buah unit rumah.

"SPNB juga menyediakan khidmat nasihat dan pemantauan bagi 54 projek lagi yang terbengkalai melibatkan 13,374 unit rumah," katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat di sini, Isnin.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Ghazali Ibrahim (BN-Padang Terap) mengenai sejauh mana kejayaan SPNB membantu rakyat mendapatkan rumah kediaman dan bilangan projek terbengkalai yang telah diambil alih oleh SPNB.

Dr Hilmi berkata sejak penubuhan SPNB pada 1997, syarikat itu juga telah berjaya melaksanakan projek-projek perumahan rakyat melalui beberapa skim perumahan seperti Skim Rumah Mampu Milik, Skim Rumah Mesra Rakyat, pemulihan rumah terbengkalai dan projek perumahan anggota tentera secara usaha sama dengan Lembaga Tabung Angkatan Tentera.

Beliau berkata sehingga Ogos 2006, SPNB berjaya menyiapkan sebanyak 2,778 unit rumah di bawah Skim Rumah Mampu Milik dan 18,712 unit lagi sedang dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.

"Di bawah Skim Rumah Mesra Rakyat sebanyak 1,779 unit rumah telah disiapkan dan 1,121 unit sedang dalam peringkat pembinaan," katanya.

Beliau berkata bagi projek-projek perumahan terbengkalai pula, SPNB terlibat dalam program pemulihan, khidmat nasihat dan pemantauan bagi 73 projek rumah terbengkalai.

Mengenai perbelanjaan bagi projek Rumah Mesra Rakyat, setakat ini SPNB telah membelanjakan sebanyak RM98 juta daripada RM257 juta peruntukan yang disediakan.

"Memang menjadi matlamat SPNB untuk mencuba sedaya upaya mempercepatkan lagi pembinaan rumah-rumah mesra dan mampu milik ini. Bagaimanapun masalah utama yang dihadapi ialah tapak kerana kebanyakan tanah yang dimajukan kepada SPNB mempunyai ramai pemilik dan menyukarkan SPNB mendapatkan kebenaran dengan cepat," katanya.

-- BERNAMA

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.