This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Pemaju turun harga kondo sesuka hati
Berita Harian 10/07/2006

SAYA ingin meminta kepastian sama ada kerajaan mempunyai sebarang garis panduan mengenai penetapan harga semua jenis rumah termasuk kondominium, apartmen dan flet.

Apakah harga rumah ditentukan oleh pemaju dengan kelulusan Kerajaan Pusat, kerajaan negeri atau pihak berkuasa tempatan?

Apakah wujud sebarang kriteria dalam penentuan harga rumah, kondominium dan apartmen dan jika ada, adalah wajar orang ramai dimaklumkan selaras dengan dasar terbuka kerajaan sekarang ini.

Saya menimbulkan perkara ini kerana baru-baru ini ada pemaju perumahan di kawasan Gombak yang ingin membangunkan kondominium telah mempamerkan pada banting di tiang lampu harga lebih RM181,000 bagi unit tiga dan empat bilik.

Tetapi selepas seminggu harganya turun kepada lebih RM152,000 bagi unit yang sama. Penduduk di kawasan berkenaan begitu hairan bagaimana dalam tempoh masa seminggu harga bagi seunit kondominium itu boleh turun kira-kira RM30,000. Bagaimana dengan pembeli yang telah membayar pendahuluan dan menanda tangani dokumen dengan pemaju ketika projek itu baru dilancarkan?

Apakah kerajaan tidak ada sebarang kawalan terhadap harga rumah termasuk kondominium sehingga pemaju boleh dengan sesuka hati ‘menguji pasaran’ dengan meletakkan harga yang terlampau tinggi dan apabila dilihat tidak ada sambutan, harganya diturunkan sebanyak kira-kira RM30,000.

Pihak manakah yang bertanggungjawab dalam hal ini, apakah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan atau Majlis Perbandaran Selayang (MPS) selaku pihak berkuasa tempatan di kawasan berkenaan?

Saya berharap kerajaan akan memberi perhatian kepada penetapan harga rumah untuk kepentingan rakyat agar mereka sentiasa dilindungi ketika membeli rumah.

Baru-baru ini timbul cadangan supaya pemaju hanya menjual rumah yang telah siap dibina bagi melindungi pembeli daripada pelbagai masalah termasuk kerugian yang terpaksa ditanggung akibat rumah terbengkalai.

Tatkala pembeli rumah berasa lega dengan cadangan berkenaan, pihak pemaju pula berasa gusar kerana terpaksa mencari sumber kewangan sendiri terlebih dulu sebelum membina rumah.

Sebagai pengguna dan pembeli rumah, saya berharap kementerian berkenaan dan semua pihak terbabit akan mengesahkan sama ada wujud sebarang garis panduan dalam penetapan harga rumah, kondominium dan apartmen agar ia tidak terlebih anggaran dan memberi keuntungan berlipat ganda kepada pemaju tetapi menghimpit pembeli.

Saya amat kesal dengan perubahan harga rumah yang dilakukan oleh pemaju dalam tempoh masa terdekat seperti yang berlaku di Gombak.

Saya berharap Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan bersikap telus dalam perkara ini dan memberi penjelasan mengenai perbezaan harga itu yang berubah dalam masa seminggu saja.


BAKAL PEMBELI KESAL,
Gombak, Selangor.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.