This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Insentif boleh kekang kenaikan harga rumah

08/07/2006 Berita Harian

KUALA LUMPUR: Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) yakin pemberian insentif kepada pemaju yang melaksanakan pembinaan projek perumahan menerusi konsep bina dan jual akan membantu mengekang kenaikan harga rumah.

Rehda dalam kenyataannya semalam berkata, pemberian insentif itu juga akan menarik minat pemaju memilih konsep pembinaan projek perumahan berkenaan.

Katanya, kenaikan harga rumah menerusi konsep bina dan jual tidak boleh dielakkan kerana ia berkaitan dengan kos dan risiko tinggi yang terpaksa ditanggung pemaju.

"Peningkatan harga rumah menerusi konsep ini mengambil kira lokasi, jenis rumah keupayaan kewangan pemaju yang membabitkan kos faedah bank yang terpaksa ditanggung sepanjang tempoh pembinaan.

"Namun, Rehda ingin menegaskan bahawa kenaikan harga rumah menerusi konsep ini tidak akan menyebabkan peningkatan sehingga 100 peratus sebaliknya hanya antara 30 hingga 50 peratus bergantung kepada lokasi, jenis rumah dan kos pegangan ditanggung pemaju;' katanya.

Rehda berkata demikian sebagai reaksi kepada kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa konsep bina dan jual bukan sesuatu yang diwajibkan untuk mana-mana pihak tetapi satu pilihan kepada pemaju dan pembeli rumah.

Najib berkata, pemaju dan pembeli mempunyai pilihan menggunakan sistem baru berasaskan konsep bina dan jual atau menggunakan amalan sedia ada.

Ng berkata, peratusan kenaikan adalah berdasarkan kajian yang dijalankan persatuan selepas kerajaan meminta maklum balas mengenai konsep itu ketika ia mula-mula dicadangkan.

Rehda turut berterima kasih kepada kerajaan kerana membuat keputusan mahu memperkenalkan konsep bina dan jual atau 10/90 bersama dengan konsep jual dan bina yang diamalkan kini.

Katanya, dengan adanya pilihan, industri perumahan akan dapat dijana dengan lebih baik dan menjadi pemacu dalam ekonomi negara.

Sementara itu, Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) mengalu-alukan konsep pembinaan rumah bina dan jual yang dijalankan serentak dengan pelaksanaan jual dan bina seperti yang diamalkan ketika ini.

ABM dalam kenyataannya berkata, bank akan memberi sokongan dan membantu industri perumahan dan sentiasa menyalurkan pinjaman kepada projek yang berdaya maju berdasarkan kepada penilaian kredit biasa.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.