| 
     Harga rumah dijangka meningkat 
    100 peratus  
    Berita Harian 6/7/2006 
     
    KUALA LUMPUR: Harga rumah dijangka meningkat sekurang-kurangnya 30 peratus, 
    malah sehingga 100 peratus di kawasan tertentu, berikutan pelaksanaan konsep 
    bina dan jual. 
     
    Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA), Datuk Jeffrey Ng, 
    berkata jangkaan itu dibuat berdasarkan kajian REHDA terhadap harga rumah 
    yang dijual mengikut konsep berkenaan di beberapa kawasan di Lembah Klang. 
     
    Sebagai contoh, rumah teres dua tingkat di Bandar Utama Damansara dijual 
    antara RM700,000 hingga RM750,00 mengikut konsep bina dan jual, berbanding 
    RM350,00 hingga RM450,000 menggunakan sistem pembelian sebelum disiapkan. 
     
    “Kenaikan itu tidak dapat dielakkan kerana pemaju terpaksa mendahulukan kos 
    pembinaan projek perumahan serta menanggung faedah pinjaman bank yang 
    sebelum ini ditanggung pembeli,” katanya kepada Berita Harian semalam. 
     
    Ng berkata, REHDA akan mengadakan mesyuarat dengan Kementerian Perumahan dan 
    Kerajaan Tempatan bulan depan, untuk membincangkan insentif yang boleh 
    ditawarkan kerajaan bagi mengurangkan beban pemaju serta mengelak kenaikan 
    harga rumah.  
     
    Menerusi konsep bina dan jual, yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, 
    Datuk Seri Najib Razak pada 22 Jun lalu, pembeli dikenakan bayaran 
    pendahuluan 10 peratus manakala baki 90 peratus dibayar selepas rumah siap 
    dibina. 
     
    Katanya, kerajaan pada dasarnya bersetuju membenarkan pemaju melaksanakan 
    konsep itu bersama sistem sedia ada dan akan menilai keberkesanannya dalam 
    tempoh dua tahun sebelum membuat keputusan muktamad. 
     
    Sementara itu, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Azizah 
    Mohd Dun memberitahu Dewan Rakyat semalam, empat faktor mendorong kenaikan 
    harga rumah bina dan jual iaitu peningkatan kos pembinaan, tanggungan 
    kewangan, risiko kredit serta spekulasi tinggi. 
     
    “Pihak bank juga akan lebih memilih dalam memberi pinjaman kepada pemaju 
    berikutan elemen spekulasi. Ini dikhuatiri memberi kesan terhadap sumbangan 
    sektor perumahan dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta meningkatkan 
    kadar inflasi,” katanya menjawab soalan Tan Sri Hew See Tong (BN-Kampar). 
     
    Azizah berkata bagaimanapun berkata, konsep bina dan jual juga mempunyai 
    kebaikan terutama dapat memberi lebih perlindungan kepada pembeli serta 
    mengelak projek terbengkalai. 
     
    “Pembeli bukan saja boleh meneliti rumah sebelum membelinya, malah dapat 
    mengelak mengeluarkan wang simpanan dan membuat pinjaman bank terlebih dulu 
    untuk membeli rumah. 
     
    “Ini sudah tentu mengurangkan beban kewangan pembeli yang terpaksa 
    menjelaskan dua pembayaran serentak, iaitu sewa rumah yang didudukinya dan 
    ansuran pinjaman bank,” katanya. 
     
    Beliau berkata, konsep itu juga dapat membantu menurunkan kadar pinjaman 
    tidak terbayar yang mungkin dihadapi pembeli atau pemaju, selain merancakkan 
    lagi pembinaan industri perumahan dan mewujudkan daya saing dalam penggunaan 
    teknologi terkini. 
     
    Menjawab soalan tambahan M Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat), Azizah berkata 
    pemaju yang melaksanakan konsep itu bagaimanapun masih perlu mendapatkan 
    lesen daripada kementerian. 
     
    “Kita juga akan meneliti dan memperketatkan undang-undang berkaitan supaya 
    tidak akan timbul masalah kepada pembeli,” katanya. 
     
    Presiden Persatuan Pembeli Rumah (HBA), Datuk Goh Seng Toh bagaimanapun 
    berkata, pemaju tidak boleh menjadikan pelaksanaan konsep bina dan jual 
    untuk meningkatkan harga rumah kerana sistem itu diwujudkan untuk melindungi 
    hak pembeli. 
     
     
    INFO 
     
    Contoh harga rumah teres dua tingkat di Bandar Utama 
     
    Rumah konsep bina dan jual berharga antara RM700,000 hingga RM750,00 
    Rumah dibina menggunakan sistem pembelian sebelum disiapkan berharga antara 
    RM350,00 hingga RM450,000  |