This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Tindakan DBKL dipersoal

04/06/2006 Mingguan Malaysia


KUALA LUMPUR 3 Jun - Belum pun reda isu tanah runtuh di Kampung Pasir, Hulu Klang, kawasan perumahan Bukit Mas yang berdekatan pula dikhuatiri berdepan masalah serupa setelah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dilaporkan meluluskan sebuah projek perumahan untuk dimajukan di kawasan cerun bukit di situ.


Tindakan pihak berkuasa tempatan itu meluluskan projek di kawasan berlereng curam yang hanya kira-kira 100 meter dari Bukit Mas menimbulkan kebimbangan penduduk terbabit.

Lebih mencemaskan, tapak cadangan blok pangsapuri tujuh tingkat dan satu blok vila bandar enam tingkat itu dikatakan akan dimajukan beberapa meter sahaja dari Kolam Tadahan Air Bukit Mas.

Kebimbangan penduduk terhadap risiko tanah runtuh itu disuarakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Ad Hoc Penduduk Bukit Mas, Datuk Mohd. Rosli Aziz kepada pemberita di Bukit Mas di sini hari ini.

Kawasan terbabit terletak dalam tadbiran DBKL manakala kawasan Kampung Pasir yang berdekatan di bawah tadbiran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Mohd. Rosli berkata, lebih 1,000 penghuni perumahan Bukit Mas bimbang kerana projek yang akan dibangunkan di lereng bukit itu dikhuatiri menyebabkan tanah runtuh.

Katanya, walaupun selepas beberapa surat bantahan dikemukakan oleh penduduk kepada DBKL pada 17 Mei lalu, jawapan yang diberi bunyinya `amat mudah' - mereka akan memastikan pembinaan di kawasan itu tidak membahayakan penduduk.

Menurut Mohd. Rosli, persoalan timbul sama ada DBKL tidak meneliti dahulu pelan kawasan yang akan dibangunkan termasuk mengambil kira kewujudan kolam tadahan air serta lereng bukit yang terlalu curam di situ.

Penduduk Bukit Mas, katanya lagi, amat kecewa setelah mengetahui kerja-kerja pembinaan yang dicadangkan di atas kawasan yang terletak di Mukim Setapak itu akan dimulakan Oktober ini.

"Kami sudah mengemukakan surat bantahan kepada DBKL dan Menteri Wilayah Persekutuan supaya projek itu dihentikan.

"Jawapan yang diberikan oleh DBKL dianggap penduduk tidak munasabah kerana ia melibatkan nyawa penduduk,'' katanya.

Mohd. Rosli berkata, kawasan perumahan Bukit Mas siap dibina sekitar tahun 1990 merangkumi 10 buah banglo dan tiga blok pangsapuri (90 unit) yang dipisahkan oleh sebatang anak sungai.

Menurut beliau, pada tahun 2001, tebing sungai itu hampir dilimpahi air menyebabkan DBKL terpaksa menguatkan bahagian tebing sungai kerana berlaku hakisan.

"Kami risau pembinaan projek itu melibatkan kerja-kerja pembersihan cerun. Keadaan akan bertambah buruk jika hujan lebat kerana air dari bukit akan mengalir deras ke sungai.

"Tiada projek pun, ia sudah melimpah, inikan pula jika pembinaan itu dimulakan kelak,'' jelasnya.

Mohd. Rosli berkata, pihaknya difahamkan kelulusan diberikan oleh DBKL sekitar awal 1990-an tetapi ditangguhkan ekoran kejadian Highland Towers pada 11 Disember 1993.

Bagaimanapun katanya, penduduk kawasan itu terkejut apabila mengetahui projek tersebut diteruskan.

Sementara itu, bekas Ketua Wanita UMNO Kedah, Datuk Rosnah Majid yang mendiami kawasan itu sejak 15 tahun lalu berkata, projek tersebut wajar dihentikan kerana selain mengancam nyawa penduduk, ia turut mengganggu ekosistem alam semula jadi di situ.

Menurut beliau, kawasan berbukit berhampiran perumahan itu sekian lama menjadi habitat pelbagai unggas dan binatang menyebabkan ia diwartakan sebagai Taman Warisan Pertanian Selangor.

Datin Joleah Mahmood yang mendiami unit banglo di tebing anak sungai berkata, kerja-kerja pemasangan cerucuk di atas tanah bercerun akan menjejaskan struktur binaan pangsapuri dan banglo sedia ada.

Seorang jirannya, Zuriah Ahmad berkata, lantai di bahagian luar rumahnya merekah menyebabkan dia terpaksa memanggil kontraktor menutupnya.

Sehubungan itu, mereka menggesa supaya DBKL mengarahkan projek itu dihentikan sebelum pemaju memulakan kerja-kerja penebangan.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.