This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Salah PBT

Utusan Malaysia 6/6/2006

PUTRAJAYA 5 Jun - Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar merumuskan kejadian tanah runtuh di sekitar Hulu Klang termasuk di Kampung Pasir minggu lalu berpunca daripada kegagalan pihak berkuasa tempatan (PBT) mematuhi garis panduan pembangunan tanah tinggi.


Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Suboh Mohd. Yassin berkata, mengikut garis panduan, kawasan tanah tinggi melebihi 1,000 meter dengan kecerunan lebih 40 darjah tidak dibenarkan pembangunan projek.

Justeru tegasnya, adalah menjadi tanggungjawab setiap PBT memastikan garis panduan tersebut dipatuhi.

``Persoalannya, dia (pihak berkuasa tempatan) tidak ikut,'' katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2005 kementerian itu di sini, hari ini.

Pada majlis itu, beliau mewakili Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Azmi Khalid menyampaikan anugerah kepada 41 penerima.

Suboh berkata, setiap projek pembangunan di kawasan tanah tinggi mempunyai risiko kejadian tanah runtuh, lebih-lebih lagi ketika hujan.

``Pihak pemaju kena berhati-hati,'' katanya.

Mengulas kejadian tanah runtuh di Kampung Pasir, Bukit Zoo View, beliau berkata, kementerian melalui agensinya, Jabatan Alam Sekitar (JAS) mempunyai mekanisme tertentu dalam memastikan aspek penjagaan alam sekitar.

Malah, katanya, Jabatan Mineral dan Geosains juga telah menjalankan kajian ke atas kawasan berkenaan bagi membantu usaha mengenal pasti punca kejadian sebenar.

``Jadi, semua pihak, tidak kira PBT, kerajaan negeri dan jabatan-jabatan Persekutuan, perlu memberi perhatian dan input masing-masing,'' katanya.

Ditanya sama ada JAS berdepan masalah bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam melaksanakan tugas serta peranannya, Suboh bagaimanapun berkata, pegawai jabatan itu mempunyai hubungan rapat dengan kerajaan negeri.

Dalam kejadian 31 Mei lalu, empat beranak mati tertimbus apabila berlaku pergerakan tanah berikutan pembangunan di kawasan terbabit.

Berikutan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengingatkan semua PBT bertindak tegas dan bukan sekadar memberi amaran sahaja terhadap pemaju yang melanggar peraturan berkaitan pembinaan di kawasan tanah tinggi.

Perdana Menteri turut mengarahkan kerajaan Selangor mengambil tindakan segera terhadap pihak yang bertanggungjawab dalam kejadian itu.

Ekoran itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo memberitahu pihaknya sedang mengumpulkan bukti bagi membolehkan tindakan diambil ke atas pihak terlibat.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.