This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Rumah tak siap, gaji kena potong

Berita Harian 23/6/2006

Pembeli perumahan kos rendah Taman Bidara Palma kesal kegagalan pemaju siapkan projek

MELAKA: Seramai 81 daripada 101 pembeli rumah kos rendah di Taman Bidara Palma, Tanjung Bidara, Masjid Tanah, dekat sini, kesal dengan kegagalan pemaju projek menyiapkan rumah berkenaan yang sepatutnya sudah diserahkan tiga tahun lalu.

Projek perumahan itu yang mula dibina pada 2001 dijadualkan siap pada 2003, namun hingga sekarang ia belum dapat disiapkan sepenuhnya. Hanya 20 rumah yang sudah siap dan diserahkan kepada pembeli.

Keadaan ini menyebabkan 81 pembeli terbabit terpaksa menanggung bebanan hutang yang tinggi berikutan peningkatan kos sara hidup.

Sentral diberitahu, syarikat yang sepatutnya menyiapkan projek berkenaan pada 2003 menghadapi pelbagai masalah sehingga menyebabkan ia bertukar tangan sebanyak tiga kali.

Pembeli, Abd Halim Hassan, 31, kecewa dengan sikap pemaju sebelum ini yang menjanjikan rumah berharga RM35,000 ke atas itu pasti akan siap mengikut tempoh, tetapi janji hanya tinggal janji.

Katanya, sampai bila dia dan pembeli lain mesti menunggu sedangkan mereka sudah membuat pembayaran rumah menerusi potongan gaji bulanan masing-masing.

"Bagi anggota kerajaan pemotongan boleh dikatakan rendah, tetapi yang membuat pinjaman melalui institusi kewangan sudah pasti peratus pemotongan adalah lebih tinggi dan ia pasti membebankan.

"Sedihnya, sebahagian pembeli berpendapatan kecil atau sederhana kerana bekerja sebagai pekerja kilang, bekerja sendiri atau pesara," katanya.

Beliau berkata, rumah lot tepi yang dibelinya dengan harga RM40,000 sepatutnya siap pada 2003 tetapi sehingga kini masih belum siap.

Abdul Halim berkata, sehingga sekarang dia terpaksa menyewa rumah lain dengan sewa RM200 sebulan, di samping terpaksa menjelaskan bayaran pinjaman rumah yang belum siap itu RM282 sebulan.

"Sampai bila saya harus menunggu dan menanggung masalah ini. Saya ingin tinggal di rumah sendiri yang lebih selesa bersama isteri dan dua anak kecil saya," katanya.

Katanya, pembinaan rumah kos rendah terbabit sudah siap lebih 85 peratus dan hanya tinggal beberapa kerja perlu diselesaikan seperti memasang cermin tingkap, daun pintu, paip sinki serta sistem pendawaian elektrik.

"Bagi mengurangkan masalah, saya merayu pihak bertanggungjawab iaitu Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) mengeluarkan CF sementara supaya pembeli dapat masuk dan tinggal di rumah yang mereka beli secepat mungkin.

"Saya juga meminta Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam supaya membantu menyelesaikan masalah kami di sini. Sudah banyak mesyuarat dan pertemuan dibuat antara ahli jawatankuasa bertindak bersama pemaju serta Yang Berhormat (YB) kawasan Tanjung Bidara, tetapi sehingga sekarang tidak selesai juga," katanya.

Pesara, Khamarudin Othman, 45, berasa bosan kerana pemaju asyik berjanji dari sebulan ke sebulan bahawa rumah berkenaan akan mendapat CF dan boleh diduduki.

Beliau yang kini terpaksa menumpang di rumah mentuanya di Kampung Balik Batu, berkata berdasarkan pelaksanaan kerja dilakukan pemaju, tidak dapat dipastikan bila projek berkenaan boleh siap sepenuhnya.

"Kadang-kadang saya tengok ada pekerja yang membuat kerja tetapi ada ketikanya tiada orang yang bekerja. Kerja yang dilakukan amat perlahan... jadi bilalah rumah kami nak siap," katanya.

Warga emas, Mohd Rahim Md Isa, 56, berkata pada awalnya pemaju memaklumkan mereka boleh masuk pada Febuari lalu tetapi sehingga kini tidak juga di berikan kunci rumah.

"Mereka hanya pandai berjanji tetapi tidak ditepati," katanya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.