This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

PM arah Datuk Bandar siasat projek Bukit Mas

Utusan Malaysia 05/06/2006

KEPALA BATAS 4 Jun - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengarahkan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ruslin Hasan menyiasat semula kelulusan yang diberikan kepada sebuah syarikat bagi melaksanakan projek perumahan di kawasan cerun bukit di Bukit Mas, Kuala Lumpur.
Menurut Perdana Menteri, ini kerana kelulusan itu diberikan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebelum kejadian tanah runtuh di Kampung Pasir, Hulu Klang.

Oleh itu, katanya, adalah wajar bagi DBKL menyiasat semula keadaan kawasan yang diluluskan sebelum ini.

``Itu sebelum jadinya ini (tanah runtuh di Kampung Pasir) dah jadi, pergilah tengok, saya akan beritahu Datuk Bandar pergi tengok,'' katanya ketika ditanya mengenai alasan DBKL bahawa projek di Bukit Mas itu akan dipastikan tidak membahayakan penduduk.

Perdana Menteri berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Perdana Kompeni Askar Wataniah bagi Parlimen Kepala Batas, Nibong Tebal dan Batu Kawan di sini hari ini.

Kebimbangan

Beliau diminta mengulas laporan akhbar hari ini berhubung kebimbangan penduduk terhadap tindakan DBKL yang meluluskan projek itu yang terletak hanya kira-kira 100 meter dari Bukit Mas.

Tapak projek yang diluluskan DBKL itu adalah untuk pembinaan blok pangsapuri tujuh tingkat dan satu blok vila bandar enam tingkat dan ia akan dimajukan beberapa meter sahaja dari Kolam Tadahan Air Bukit Mas.

Abdullah berkata, jika kawasan itu akan dimajukan, DBKL perlu membuat siasatan segera bagi mengelakkan sebarang kejadian buruk.

Menurutnya, penduduk juga boleh memaklumkan kepada DBKL jika wujud masalah terutama berkaitan keadaan kawasan yang mahu dibangunkan bagi mengelakkan timbulnya bahaya selepas itu.

``Kadangkala DBKL diberitahu ada maklumat yang ada hubung kait dengan bahaya yang akan menimpa di kawasan itu jika kawasan rumah tersebut dibuat.

``Oleh itu, DBKL perlu buat siasatan dengan segera,'' katanya.

Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Zulhasnan Rafique telah mengarahkan Ruslin dan Ketua Setiausaha Kementerian menyediakan satu laporan lengkap melibatkan semua aspek untuk diserahkan kepada Kabinet.

``Saya telah menghubungi Datuk Bandar dan juga Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan supaya turun padang bersama Setiausaha Parlimen Kementerian, Yew Teong Look siasat segera serta sediakan satu laporan lengkap.

``Ia (laporan itu) meliputi semua aspek termasuk keselamatan penduduk setempat (perlu disediakan) sebelum Selasa ini supaya dapat diserahkan kepada Kabinet pada hari Rabu,'' katanya yang kini sedang bercuti dalam satu kenyataan.

Katanya, daripada laporan itu satu keputusan muktamad dapat diambil demi masa depan para penduduk yang mendiami kawasan tersebut.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.