This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Perjelas status tanah runtuh

Berita Harian 7/6/2006

HULU KLANG: Penduduk Kampung Pasir, di sini yang menjadi mangsa kejadian tanah runtuh 30 mei lalu dan mengorbankan empat nyawa meminta Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) membuat keputusan segera mengenai status kawasan itu.

Penduduk yang bimbang kejadian sama berulang mahu MPAJ tidak berlengah dalam memberi gambaran jelas mengenai status tanah dan kawasan itu sama ada selamat untuk didiami atau perlu berpindah.

Ketua Kampung merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penduduk, Mohd Razi Ayop, berkata penduduk mahukan kata putus berikutan bimbang dengan keselamatan mereka jika tanah yang strukturnya goyah dan longgar itu runtuh sekali lagi.

“Apa yang dilakukan MPAJ kini hanyalah memantau keadaan dan meletakkan penduduk dalam keadaan berjaga-jaga. Bagaimana jika tanah itu runtuh sekali lagi lebih-lebih lagi dalam keadaan cuaca kebelakangan ini yang sering hujan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Beliau juga berkata, lebih 80 keluarga mangsa tanah runtuh yang sudah berpindah ke penempatan sementara disediakan pemaju reda dengan hakikat rumah mereka telah lenyap dan berusaha untuk memulakan hidup baru.

Beliau berkata, walaupun tiada sebarang pampasan sama ada daripada tuan tanah atau pihak berkuasa tempatan, mereka yang terbabit pasrah dengan nasib yang menimpa mereka.

Mohd Razi berkata, baki lebih 20 keluarga yang masih tinggal di pinggir kawasan runtuhan juga sudah diberikan notis berpindah oleh MPAJ selepas kawasan itu didapati tidak selamat.

Bagaimanapun, katanya penduduk terbabit enggan menurut arahan berpindah kerana tidak mampu menanggung kos mencari kediaman baru, tambahan pula kawasan sedia ada sudah menjadi kampung halaman mereka sejak beberapa generasi.

Mohd Razi berkata, penduduk kampung juga menubuhkan jawatankuasa khas untuk memantau sebarang pergerakan tanah, terutama pada waktu malam

Sementara itu tinjauan Berita Harian di Taman Zooview mendapati, kawalan keselamatan anggota penguat kuasa MPAJ diperketatkan di setiap pintu masuk.

Enam belas rumah di situ yang sebahagiannya ‘tergantung’ selepas cerun tanah di belakang rumah runtuh Rabu lalu, juga dikosongkan.

Pemaju yang sebelum ini menawarkan 16 pemilik kediaman itu sebanyak 20 bilik di Hotel Flamingo, dekat sini sebagai penempatan sementara selepas mereka diarahkan mengosongkan kediaman masing-masing juga bersetuju melanjutkan tempoh penempatan itu yang sepatutnya berakhir semalam tetapi dilanjutkan seminggu lagi.

Pegawai Perhubungan Awam MPAJ, Norhayati Ahmad ketika dihubungi, berkata pihaknya memanggil pemaju terbabit berikutan mangsa mengadu terpaksa keluar hotel kerana tempoh berakhir semalam.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.