This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Penduduk bimbang bukit mahu dimajukan
03/06/2006 BERITA HARIAN

KUALA LUMPUR: Penduduk perumahan Bukit Mas, Hulu Klang, dekat sini dilanda kebimbangan berikutan kawasan bukit kira-kira 100 meter dari kediaman mereka akan dibangunkan untuk projek perumahan baru.

Walaupun penduduk sekitar Hulu Klang masih belum reda daripada ketakutan berikutan kejadian tanah runtuh di Kampung Pasir yang mengorbankan empat nyawa Rabu lalu, penduduk mendakwa ada pihak cuba mengaut keuntungan membina projek perumahan di kawasan berbahaya.

Pengerusi Penduduk Taman Mas, Datuk Mohd Rosli Aziz berkata, mereka bimbang cerun berkenaan akan runtuh serta mengakibatkan pencemaran air sungai berdekatan apabila projek itu dibangunkan.

"Kami difahamkan, projek diluluskan sejak awal 90-an tetapi dihentikan berikutan tragedi Highlands Tower. Kini pemaju mahu membangunkan semula projek sedangkan kawasan itu berbahaya.

"Mereka akan memulakan projek Oktober ini. Kami sudah menghantar bantahan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tetapi jawapan menghampakan dengan alasan projek pembangunan adalah satu keperluan,” katanya kepada Berita Hariansemalam.

Kawasan Taman Mas pernah mengalami kejadian tanah runtuh ketika hujan lebat beberapa tahun lalu, sekali gus menimbulkan kebimbangan kejadian berulang dan lebih teruk kerana kawasan bukit akan dibangunkan.

Kawasan cerun bukit yang menempatkan tangki air untuk penduduk akan dibangunkan projek satu blok bangunan apartmen yang menempatkan unit rumah dan satu blok town villa.

Jika dilaksanakan, pemaju akan menggunakan laluan yang digunakan penduduk sebagai laluan kenderaan berat sedangkan jalan berkenaan agak sempit.

“Adakah kejadian tanah runtuh Highlands Towers, Taman Hillview dan di Taman Zoo View, semuanya di Hulu Klang tidak memberi apa-apa makna kepada pemaju. Walaupun itu tanah persendirian, mereka perlu fikirkan keselamatan penduduk,” katanya.

Ketika tinjauan semalam, sebuah jentera bomba dilihat memasuki kawasan bukit itu dipercayai melakukan ujian terhadap laluan berkenaan.

Difahamkan, mereka menghadapi kesukaran mendaki dan menuruni bukit, apatah lagi jika menggunakan kenderaan berat. la menunjukkan bahawa pasukan penyelamat akan menghadapi masalah jika berlaku tanah runtuh di situ.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.