This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Pemaju perumahan disaran pasang CCTV bantu polis

Utusan Malaysia 16/6/2006

KUALA LUMPUR 15 Jun - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyeru semua pemaju perumahan supaya memasang kamera litar tertutup (CCTV) bagi mempertingkatkan keberkesanan mencegah jenayah di kawasan masing-masing.


Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Bakri Omar berkata, selain dapat memastikan jenayah berkurangan, pemasangan CCTV juga membolehkan pihak berkuasa mengesan kejadian jenayah di lokasi yang dikenal pasti dan mengambil tindakan dengan lebih pantas.

“Pemasangan CCTV di beberapa tempat di ibu negara sebelum ini membuktikan bahawa ia berjaya mengurangkan kadar jenayah.

‘‘Kes-kes seperti ragut yang pernah menggemparkan negara sebelum ini juga dapat dikurangkan.

‘‘Lebih penting lagi, kewujudan kemudahan sebegini mungkin dapat mengelakkan pelaku jenayah bertindak kerana mereka sedar bahawa segala aksi yang dibuat akan dilihat dan dirakam,” katanya.

Mohd. Bakri berkata demikian ketika berucap melancarkan sistem CCTV kawasan perumahan elit yang dibangunkan oleh pemaju hartanah Sunrise Berhad di Plaza Mont, Segambut di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Najib Abd. Aziz; Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Sulaiman Mohd. Yusof; Timbalan Pengerusi Sunrise Berhad, Datuk Allan Lim; Pengarah Urusan Sunrise Berhad, Datuk Micheal Yam dan Ahli Parlimen Segambut, Datuk Dr. Tan Kee Kwong.

Menurut Mohd. Bakri, pemasangan CCTV di kawasan perumahan turut memudahkan polis menjejaki suspek sekiranya berlaku sesuatu kejadian jenayah.

Dalam pada itu, Micheal berkata, kawasan perumahan Mont Kiara kini dilengkapi dengan 3,000 unit kondominium mewah yang kebanyakan dihuni oleh pegawai dagang asing.

‘‘Atas sebab itulah kita mengambil inisiatif untuk mengutamakan aspek keselamatan di kawasan perumahan ini.

‘‘Sunrise Berhad telah membelanjakan lebih RM3 juta untuk memasang 30 CCTV di jalan-jalan utama di samping lapan lagi CCTV yang boleh dilaraskan (zoom) di atas bangunan bagi memantau keselamatan penduduk,” jelasnya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.