This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

MPS fail kes enam pemaju ke mahkamah

Utusan Malaysia 13/6/2006

SELAYANG 12 Jun - Majlis Perbandaran Selayang (MPS) akan mendakwa enam pemaju atas kesalahan melibatkan lapan kes pembangunan di Sungai Pusu kerana tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

Yang Dipertua MPS, Zainal Abidin Azim berkata, mereka didakwa melakukan kesalahan memulakan pembangunan tanah tanpa kebenaran daripada MPS di bawah Seksyen 19 Akta Perancang Bandar dan Desa.

"Kes tersebut akan dibicarakan pada Oktober ini. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan kompaun maksimum RM500,000 manakala bagi kesalahan menjalankan kerja-kerja tanah tanpa kelulusan pula denda maksimum RM50,000," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Bulanan MPS, di sini, minggu lalu.

Menurutnya, ekoran kejadian tanah runtuh yang kerap berlaku, MPS turut mempergiatkan usaha memantau aktiviti pembangunan di bawah kawasan pentadbirannya.

Sehubungan itu, katanya, maklumat orang ramai mengenai hakisan tanah yang berlaku amat diperlukan bagi memastikan kejadian tanah runtuh tidak berulang.

"Di kawasan MPS, terdapat dua kawasan yang diberikan perhatian iaitu di Bukit Lagong dan Sungai Pusu," katanya.

Berhubung masalah pembuangan sampah haram, Zainal menegaskan, tindakan akan diambil kepada pemilik tanah yang membenarkan tanah mereka dijadikan tempat pembuangan sampah.

"Jika mereka ingin menambak tanah dengan mengizinkan tanah dan sisa binaan seperti batu dan simen dibuang di tanah mereka, permohonan perlu dibuat terlebih dahulu daripada MPS," katanya.

Berbanding sampah domestik, jelas beliau, pemilik tanah dibenarkan menambak tanah mereka dengan sampah sisa binaan hanya dengan kebenaran dan mengikuti syarat-syarat yang ditetapkan oleh MPS.

"Sampah domestik tidak dibenarkan sama sekali kerana ia berbau dan mencemarkan persekitaran," katanya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.