This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

1,000 penduduk persoal DBKL
04/06/2006 BERITA HARIAN

KUALA LUMPUR: Kira-kira 1,000 penduduk di Taman Bukit Mas, Hulu Klang bimbang pembinaan projek pembangunan di lereng bukit berhampiran kediaman mereka boleh membahayakan penduduk di kawasan itu.

Penduduk kecewa kerana Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meluluskan projek pembangunan itu walaupun mengetahui pembinaan itu boleh menyebabkan berlaku hakisan dan tanah runtuh.

Mereka mendakwa projek pembinaan satu blok pangsapuri tujuh tingkat dan satu blok villa bandar enam tingkat merangkumi 74 unit kediaman di lereng curam dan lembut tidak sepatutnya diteruskan kerana ia boleh mengundang padah pada masa depan.

Pengerusi Jawatankuasa adun Penduduk Bukit Mas, Datuk Mohd Rosli Aziz, berkata pihaknya terkejut kerana projek itu dibina di kawasan tidak sesuai kerana boleh menyebabkan tanah runtuh.

Beliau berkata, igauan penduduk itu berasas kerana seluruh kawasan projek pembangunan itu terletak di atas deretan 10 banglo dan tiga blok pangsapuri membabitkan 90 unit kediaman yang hanya dipisahkan sebatang anak sungai.

"Enam tahun lalu, tebing anak sungai ini terpaksa diperkuatkan DBKL berikutan hujan lebat menyebabkan hakisan tebing. Jika projek itu diteruskan juga tentu akan mengundang bahaya.

"Penduduk sentiasa dibayangi satu lagi tragedi yang mungkin berlaku pada masa depan selepas kejadian tanah runtuh yang terbaru meranapkan penempatan di Kampung Pasir," katanya.

Mohd Rosli berkata, kecerunan jalan di Bukit 1/4B iaitu satu-satunya jalan masuk ke seluruh kawasan Bukit Mas adalah pada nisbah 1:7:26 dan ditambah lagi selekoh tajam dan jalan yang sempit adalah mustahil untuk jentera Skylift Jabatan Bomba untuk naik sekiranya berlaku satu lagi tragedi.

Beliau berkata, penduduk difahamkan kelulusan pembangunan asal diberikan pada 1990-an, sebelum tragedi Highlands Towers tetapi ditangguhkan selepas kejadian berkenaan.

Bagaimanapun, pihaknya terkejut apabila DBKL memberikan kebenaran kepada pemaju meneruskan pembangunan walaupun mengetahui keadaan tanah lembut di kawasan ini dan hakikatnya seluruh kawasan Hulu Klang terdedah kepada ancaman tanah runtuh.

"Kita dimaklumkan projek ini sudah mendapat kelulusan DBKL dan kerja pembinaan awal dijadualkan bermula Oktober ini biarpun ada alasan jelas dan kukuh untuk menentangnya.

"Sikap pihak berkuasa tempatan yang mudah lupa dan tidak mahu belajar daripada pengalaman lalu menyebabkan tragedi tanah runtuh terus berulang. Apabila berlaku sesuatu semuanya akan ditangguhkan tetapi bila kekalutan itu reda, ia akap diteruskan kembali," katanya.

Penduduk sudah menghantar surat kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Zulhasnan Rafique, Datuk Bandar KualaLumpur, Datuk Ruslin Hassan dan Pengarah Unit Perancang DBKL baru-baru ini bagi mendapat tindak balas.

"Sekarang pun sesetengah pemilik banglo terpaksa memperkuatkan asas rumah mereka berikutan hakisan tanah dan kami tidak dapat bayangkan kesannya apabila penebangan pokok, kerja penarahan tanah dan penanaman cerucuk dijalankan di kawasan itu nanti," katanya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.