This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Perubahan konsep diyakini mampu majukan projek Plaza Rakyat

utusan.com.my 09/05/2006


KUALA LUMPUR 8 Mei - Perubahan konsep pembinaan Plaza Rakyat daripada `bina, pajak dan pindah milik' kepada penjualan secara terus diyakini mampu memajukan projek itu yang sebelum ini terbengkalai, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Zulhasnan Rafique.

Beliau berkata, cadangan pertukaran konsep itu diajukan kepada kementerian oleh pemaju, Plaza Rakyat Sdn. Bhd. setelah konsep asal pembinaannya didapati tidak lagi berdaya maju.

``Konsep ini kita dapati boleh memajukan projek ini...tetapi pihak pemaju perlu memenuhi syarat-syarat yang dikeluarkan kementerian,''katanya ketika menjawab soalan Datuk Dr. Lee Chong Meng pada persidangan Dewan Negara di sini hari ini.

Lee mahu tahu apakah tindakan yang telah dan akan diambil oleh kerajaan untuk menyiapkan projek-projek mega yang terbengkalai di pusat bandar raya, termasuk Plaza Rakyat di Pudu, Bandar Wawasan di Jalan Sultan Ismail dan Projek Li Foong di Jalan Changkat Thamby Dollah.

Zulhasnan berkata, antara syarat yang ditetapkan ialah pemaju dikehendaki menjelaskan segera wang pinjaman daripada RHB Bank berjumlah RM60 juta dan juga tanah berkaitan yang dicagarkan atas pinjaman tersebut perlu dilepaskan daripada gadaian bank dan pemaju dikehendaki juga menjelaskan semua hutang dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi tunggakan sewaan pajakan tanah berkenaan dan juga membayar cukai pintu yang dianggarkan berjumlah RM15.4 juta.

Bagaimanapun sehingga kini kementerian masih belum menerima maklum balas daripada pemaju, katanya.

Projek Plaza Rakyat yang dirancang menjadi pusat pengangkutan awam bersepadu dimulakan pada 1992 sebelum terbengkalai disebabkan pemaju menghadapi masalah kewangan akibat kegawatan ekonomi pada 1997.

Kementerian kemudian mengambil inisiatif untuk memulihkan semula projek itu memandangkan ia merupakan projek penswastaan antara DBKL dengan Plaza Rakyat Sdn Bhd, yang diberikan tempoh sehingga Mei 2007 untuk menyiapkan projek berkenaan.

Berhubung projek Bandar Wawasan dan Projek Li Foong, Zulhasnan berkata, selain kedua-dua projek merupakan projek persendirian, pemaju juga menghadapi masalah dalaman syarikat dan adalah di luar kawalan kementerian dan agensinya.

Menurut Zulhasnan, kementerian setakat ini telah menyenaraikan 38 projek yang terbengkalai di seluruh Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan dan melalui Jawatankuasa Menangani Isu Projek-Projek Terbengkalai telah menyelesaikan majoriti projek-projek itu yang kebanyakannya adalah projek persendirian.

- Bernama

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.