This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Projek perumahan perlu terancang elak bencana
Utusan Malaysia 22/4/2006


SHAH ALAM 21 April - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu semua pemaju perumahan mempunyai pelan terancang yang tidak memusnahkan alam sekitar terutamanya sistem pengairan semula jadi yang boleh mengakibatkan bencana alam sekali gus mencetuskan kemarahan pembeli rumah.

Perdana Menteri menegaskan, setiap pembangunan perlu mengambil kira apa yang akan berlaku pada masa depan dan bukan sekadar untuk mengisi projek yang dirancang.

Beliau berkata, dalam banyak kes, pihak pembeli sesuatu projek perumahan tidak pernah terfikir bahawa kawasan tersebut akan mengalami banjir besar pada masa depan.

Bagaimanapun, kata Abdullah, banjir itu akhirnya berlaku kerana pihak pemaju bertindak menimbus sungai kecil di kawasan berkenaan bagi menambah lagi pembinaan unit-unit rumah.

"Kejadian ini berlaku...pemaju menimbus sungai untuk meluaskan pembinaan. Tempat yang sepatutnya menjadi laluan air sudah dibuat rumah dan apabila hujan lebat kawasan tersebut banjir.

"Kemudian apabila masuk TV3, semua sudah jadi kelam-kabut. Wakil rakyat pun jadi kelam-kabut dan terpaksa menghadapi kemarahan orang ramai,'' katanya.

Abdullah berkata demikian ketika berucap di Majlis Pelancaran Sistem Pendaftaran Terbuka Berkomputer yang seragam bagi rumah kos rendah di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah, di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo.

Perdana Menteri menambah, situasi tersebut akan mencetuskan tindakan tuduh-menuduh antara satu pihak dengan pihak yang lain.

"Pemaju yang tumbangkan pokok dan tarah bukit dan apabila hujan lebat air masuk ke sungai... sungai pula jadi kotor dan merah.

"Maka apabila sungai kotor, air sungai itu tidak boleh diminum pula orang yang menggunakannya akan mengamuk. Kita sebenarnya yang membuat semua masalah ini,'' katanya.

Abdullah berkata, sekiranya sesuatu projek pembangunan itu dirancang dengan betul dan baik, perkara seperti itu tidak akan berlaku.

Beliau berkata, masalah pembangunan hartanah seperti itu menimbulkan banyak masalah kepada rakyat dan kemarahan yang tidak semena-mena.

"Bagi sesebuah kawasan maju, memang kita perlukan semua pembangunan ini tetapi ia perlu dilakukan dengan terancang, baik, tepat dan jangan timbulkan kesusahan kepada rakyat.

Pada sidang media selepas itu, Abdullah berkata, sistem pendaftaran terbuka berkomputer yang dilancarkan itu akan memberikan kemudahan kepada rakyat sekiranya digunakan dengan sepenuhnya.

Beliau berkata, sistem tersebut juga mungkin boleh dikemas kini dengan memberi maklumat tertentu kepada pembeli mengenai lokasi, bentuk, harga dan pinjaman bank.

Sistem pendaftaran terbuka berkomputer itu diperkenalkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sejak 1997 tetapi tidak diseragamkan.

Sistem seragam ini bercirikan tiga perkara utama iaitu pendaftaran terbuka sepanjang masa, pemberian markah dan pemilihan bakal pembeli melalui komputer bagi semua negeri.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.