This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Penghuni kecewa tahap khidmat pangsapuri

Utusan Malaysia 5/4/2006

PUCHONG 4 April - "Sehingga hari ini, tidak ada langkah serius diambil untuk menyelesaikan masalah penyelenggaraan di pangsapuri ini!"

Itulah bantahan penduduk Pangsapuri Vista Lavender, Seksyen 3, Taman Kinrara, di sini terhadap sikap pihak pemaju dan pengurusan kediaman tersebut.

Walaupun baru tiga tahun mereka tinggal di situ, masalah berkenaan seolah-olah memberikan gambaran bahawa ia telah berlanjutan untuk satu jangka masa yang lama.

Presiden Persatuan Penduduk, Norazura Abdullah, 52, berkata, penduduk telah menghantar surat kepada pemaju supaya datang ke mesyuarat untuk membincang masalah penduduk dan bersama-sama menyelesaikannya.

"Namun pemaju selalu tidak hadir dengan memberi alasan tidak menerima surat," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati ekoran kejadian tersebut, kebanyakan penduduk berasa tertekan kerana masalah itu tidak ditangani dengan segera.

Para penghuni mendakwa, terlalu banyak masalah penyelenggaraan yang gagal dilakukan oleh pihak terbabit menyebabkan penduduk mempersoalkan wang penyelenggaraan yang dibayar.

Seorang penduduk M. Prabu, 36, berkata keadaan lif yang kerap rosak dan lambat dibaiki menyukarkan warga emas, wanita hamil dan
kanak-kanak sekolah.

"Terdapat lapan blok di pangsapuri ini dan setiap blok mempunyai dua buah lif.

"Malah, seringkali hanya satu lif yang berfungsi atau kadangkala kedua-duanya pun rosak terutamanya di Blok E," katanya.

Seorang lagi penduduk, Susie, 47, berkata mereka tidak menerima sebarang bekalan elektrik dan air di Blok F yang baru mendapat sijil kelayakan menduduki (CF) sebulan lain.

"Walaupun kami telah mendapat kunci tetapi masih tidak boleh pindah masuk kerana tiada kedua-dua bekalan tersebut," jelasnya.

Sally Yap, 30, pula berkata, penduduk di pangsapuri itu setiap had hidup dalam kebimbangan disebabkan terdapat siling tempat letak kereta di tingkat bawah semakin hari semakin retak.

"Kami amat risau setiap kali hujan lebat kerana kadangkala mengakibatkan air melimpah keluar sehingga menyebabkan banjir kilat.

"Kontraktor yang terbabit pernah datang untuk tujuan pemantauan tetapi tiada sebarang tindakan dilakukan.

"Kami telah berkali-kali membuat aduan kepada pihak berkuasa tetapi malangnya tiada tindakan dibuat," ujarnya.

Sementara itu Naib Pengerusi Jawatankuasa Penduduk (JKP) Zon 21, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Jimmy Chew Jyh Gang, berkata, pihaknya mendapatkan komen dan maklumat daripada para penduduk terlebih dahulu.

"Kami akan berbincang dengan Ahli Parlimen puchong, Lau Yeng Peng berhubung isu ini.

"Sehubungan itu diharap pihak terbabit akan bertindak sewajarnya agar penduduk mendapat manfaat tinggal di situ," katanya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.