This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Menetap 10 tahun di pangsapuri terbiar

25/04/2006 Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 24 April - Menakutkan! Tidak ubah seperti rumah tinggal tetapi ada penduduk yang menetap di situ sejak 10 tahun lalu, begitulah keadaan Pangsapuri Blok C, Taman Kuchai Jaya, dekat sini.

Keadaan bawah blok bersawang, saluran-saluran air bocor, wayar berserabut serta gelap sudah menjadi pemandangan biasa bagi para penduduk. Namun di manakah silapnya?

Seorang penduduk, A. Ganesan, 47, berkata, keadaan tersebut sudah berlarutan sejak 10 tahun yang lalu.

Katanya, pihak pemaju tidak melaksanakan penyelenggaraan berikutan kebanyakan pemilik rumah tidak membayar yuran penyelengaraan setiap bulan.

Tambahnya, bayaran penyelenggaraan diabaikan apabila kebanyakan pemilik menyewakan rumah mereka.

"Keadaan menjadi semakin teruk dan tidak terkawal. Saya tidak tahu ke mana mahu minta pertolongan kerana kebanyakan pemilik pangsapuri ini mengambil sikap tidak mengambil kisah.

"Mereka tidak tinggal di sini tetapi saya dan pemilik lain juga terpaksa menanggung akibat daripada sikap mereka itu," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini.

Tambah Ganesan, kawasan pangsapuri yang gelap juga menyumbang kepada aktiviti pencurian yang berleluasa di kawasan tersebut.

Katanya, kini surat-surat diletakkan di dalam tong minyak yang telah dipotong dua selepas kotak surat aluminium yang diletakkan di tingkat bawah dicuri sejak empat tahun lalu.

"Kalau tidak bernasib baik, surat akan hilang. Posmen pun tidak tahu di mana mahu letakkan surat tersebut. Kecurian motor juga selalu berlaku di kawasan ini," tambahnya.

Tinjauan Utusan Malaysia hari ini mendapati Blok C, satu daripada empat blok di pangsapuri itu dicemari dengan sampah bahan binaan, tilam buruk dan bermacam-macam jenis sampah kering yang dikumpulkan di satu sudut bawah bangunan tersebut.

Menurut Ganesan, sampah sarap yang memenuhi tebing bersebelahan bangunan tersebut juga menyumbang kepada pembiakan nyamuk.

"Kami sebenarnya tidak selesa tetapi tiada tindakan yang boleh diambil. Mungkin dengan campur tangan pihak berkuasa tempatan (PBT), kebersihan dan keindahan bangunan ini dapat dikembalikan bagi memberikan sedikit keselesaan kepada penghuni," katanya.

Pangsapuri Blok C mempunyai kira-kira 108 unit rumah.

Ah Man, 57, yang telah mendiami pangsapuri itu sejak 13 tahun lalu, berkata keadaan di situ menjadi semakin teruk sejak kebelakangan ini.

Tambahnya, lif yang telah rosak dan terbiar sejak 10 tahun pula memaksa penduduk menggunakan tangga yang kadang kala tidak berlampu.
.
"Terdapat dua lif namun keduanya-duanya tidak boleh digunakan, malah jika dilihat keadaan lif itu amat menyedihkan.

"Sarang labah-labah pula memenuhi setiap ruang lif seperti bangunan terbiar dan ini amat menyedihkan kami penduduk di sini," katanya.

Tinjauan Utusan Malaysia juga mendapati kebanyakan penduduk yang menetap di pangsapuri tersebut adalah pendatang asing yang bekerja di kawasan berdekatan.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.