This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Mahkamah benar pengurus direman

Harian Metro 20/4/2006

SHAH ALAM: Mahkamah Majistret di sini, semalam membenarkan permohonan polis menahan reman seorang pengurus projek berhubung kes pecah amanah, membabitkan wang tunai RM84,000.

Majistret Saidah Mohamed Halil membenarkan lelaki itu ditahan satu hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

Pengurus berusia 51 tahun itu dipercayai terbabit projek pembinaan 800 unit rumah di Bandar Rinching, Semenyih dan syarikatnya dikatakan mengambil deposit wang tunai RM84,000 daripada pembeli rumah.

Namun, syarikat itu gagal memasang meter paip air seperti ditetapkan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

Suspek yang diwakili peguam S Arumugam dibawa ke mahkamah kira-kira jam 2.30 petang dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, difahamkan suspek ditahan susulan laporan polis yang dibuat lebih 500 penduduk di dua taman perumahan di Sungai Buloh dan Semenyih, pada 9 Februari lalu, yang mendakwa pemaju mengabaikan kemudahan asas terutama bekalan air seperti ditetapkan Syabas.

Penduduk mendakwa pemaju menyerahkan kunci kepada pembeli tanpa menyediakan prasarana bekalan air sempurna seperti diluluskan Syabas, selain terpaksa membayar deposit bekalan elektrik dan air RM300 seorang, iaitu syarat untuk mendapatkan kunci rumah tetapi kemudahan itu tidak disediakan.

Laporan dibuat menerusi Pengerusi Penduduk Bandar Rinching Fasa 3A Seksyen 5, Zubaidah Ahmad dan wakil penduduk Taman Desa Kundang, Jefri Mohd Kasim, masing-masing di Balai Polis Semenyih dan Balai Polis Kundang, serta dihadiri Pengerusi Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), Datin Paduka Alinah Ahmad.

Lembaga itu membantu pembeli rumah yang menghadapi masalah, termasuk membawa kes pemaju projek terbengkalai ke mahkamah, mengadakan pendekatan terbaik terhadap syarikat yang ada kuasa pentadbiran harta milik atau syarikat yang muflis, memulihkan projek terbengkalai dan melaksanakan langkah pencegahan.

LPHS juga menubuhkan Unit Khidmat Guaman bagi membantu pembeli yang berpendapatan kurang RM5,000 dan dikenakan yuran RM100 bagi setiap kes.

Kes berkenaan turut mendapat perhatian Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo yang dilaporkan berkata, kerajaan negeri sudah berbincang dengan polis bagi melaksanakan tindakan terhadap pemaju perumahan yang mengingkari syarat kontrak jual beli termasuk gagal menyediakan kemudahan awam, iaitu mendakwa mereka di mahkamah atas kesalahan jenayah perdagangan.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.