This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Luas pangsapuri 'susut'

04/04/2006 Berita Harian

SHAH ALAM: Selepas jenuh menunggu projek pembinaan pangsapuri siap hingga bertukar pemaju, pembeli pangsapuri Sri Ixora berdepan masalah baru. Kali ini ‘keluasan yang sempit'.

Itulah dilema yang dihadapi 204 pembeli yang sebelum ini dihimpit kecewa lantaran projek itu terbengkalai selama dua tahun kerana pemajunya dalam proses perisytiharan muflis.

Pangsapuri kos sederhana mengandungi 600 unit di Seksyen 27 itu dijadual siap sepenuhnya pada 2002 selepas perjanjian jual-beli ditandatangani pada April 2000.

Selepas menubuhkan jawatankuasa dan kemudian turun naik pejabat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, akhirnya projek diteruskan.

Kini, pemaju baru, Sama Pesona Sdn Bhd mengambil alih bagi merealisasikan impian mereka. Tanpa berlengah, semua 204 pembeli menandatangani perjanjian jual-beli baru pada November 2003.

Namun, tanpa mereka sedari atau wujud salah faham, ada yang tidak kena dengan pembinaan itu kerana keluasan asal tidak sama. Ia lebih kecil walhal mereka membayar pada harga asal.

Ketua Ahli Jawatankuasa Pembeli Pangsapuri Sri Ixora, Roslan Bidin, 38, berkata semua pembeli, termasuk beliau dimaklumkan reka bentuk, keluasan dan harga asal akan kekal.

"Ketika menandatangani perjanjian jual-beli, kami sangka semuanya sama. Malah, angka keluasan dalam perjanjian ditulis dalam meter persegi bukannya kaki persegi dan menyebabkan kami keliru.

"Kami hanya menyedari masalah ini apabila pelancaran baru dibuat dan risalah dikeluarkan. Kali ini keluasan dinyatakan dalam kaki persegi. Kami terkejut dan tertanya-tanya," katanya.

Mengikut risalah itu, pangsapuri tiga bilik tidur dan dua bilik mandi Jenis A ialah 800 kaki persegi, manakala Jenis B 773 kaki persegi. Keluasan asal ialah 823 kaki persegi bagi Jenis A dan 880 kaki persegi bagi Jenis B.

Pembeli lain, Mohd Zaki Yaakob, 37, yang turut kecewa meminta Sama Pesona Sdn Bhd membayar sagu hati kepada pembeli mengikut kiraan kaki persegi yang ‘hilang’.

"Mahu tidak mahu, kami terpaksa menerima rumah ini, tetapi ia tidak adil. Kami membayar lebih daripada apa yang kami dapat. Ibarat bayar televisyen 24 inci dapat 21 inci," katanya.

Razak Awang, 34, pula berkata, kesudian pemaju baru mengambil alih projek berkenaan memang dihargai, tetapi berharap kebajikan pembeli diberi keutamaan.

"Kami melalui banyak kesukaran sebelum ini termasuk sebahagian pembeli, disenaraihitamkan bank kerana tidak melunaskan ansuran ketika projek terbengkalai.

"Kini, kami terpaksa bayar lebih untuk mendapatkan unit rumah yang tidak setara dengan nilai dibayar. Siapa mahu membela nasib kami," katanya.

Sungguhpun kecewa dengan keluasan tapak, kebanyakan pembeli tetap berpuas hati dengan perkembangan projek yang sudah 40 peratus siap dan dijangka selesai pada 2008.

Sementara itu, Eksekutif Hartanah Sama Pesona Sdn Bhd, Suhaimi Ahmad, berkata syarikat hanya meneruskan pembinaan yang 30 peratus siap dan menyedari masalah itu, tetapi tidak boleh berbuat apa-apa.

Katanya, perkara itu sudah dimaklumkan kepada kementerian dan bercadang menarik diri, tetapi diminta meneruskannya walaupun syarikat itu belum menerima sebarang bayaran.

"Apabila kita ukur keluasan tapak, ia berbeza dengan pelan asal yang dibuat pemaju lama. Memang ada unsur penipuan, tetapi bukan dari kami. Kami hanya datang sebagai penyelamat," katanya.

Menyifatkan kesanggupan Sama Pesona Sdn Bhd mengambil alih projek itu atas dasar ‘projek kebajikan’ Suhaimi berkata, pembeli harus merujuk masalah itu kepada kementerian.

Apabila ditanya mengenai pembayaran sagu hati kepada pembeli, beliau sebaliknya melontarkan persoalan kembali: “Siapakah yang seharusnya membayar?"

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.