This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

73 penghuni 'gagal' dapat pampasan MPAJ

19/04/2006 Utusan Malaysia

PUTRAJAYA 18 April - Seramai 73 penghuni Blok 2 dan 3 kondominium Highland Towers gagal mendapat pampasan daripada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) atas kerugian ekonomi berikutan tragedi runtuhan Blok 1 kondominium itu, 13 tahun lalu.


Ia berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini yang menolak untuk memberi kebenaran kepada 73 penghuni kondominium tersebut bagi menyemak keputusan mahkamah itu yang memutuskan MPAJ tidak boleh dipertanggungjawabkan atas kerugian itu.

Pada 17 Februari lalu, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa MPAJ dilepaskan daripada liabiliti sebelum tragedi runtuhan itu berikutan imuniti di bawah Akta Bangunan, Parit dan Jalan 1974 (Akta 133).

Mahkamah Persekutuan juga memutuskan MPAJ tidak bertanggungjawab terhadap liabiliti selepas tragedi.

Ketika menolak permohonan semakan itu, Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Allaudin Mohd. Sheriff yang mengetuai panel tiga hakim berkata, isu yang menjadi asas permohonan itu tidak boleh dijadikan alasan menyemak keputusan mahkamah tersebut.

Beliau mencapai keputusan itu sebulat suara bersama dua Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nik Hashim Nik Ab. Rahman dan Datuk S. Augustine Paul.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memperuntukkan 15 peratus liabiliti selepas runtuhan untuk ditanggung oleh MPAJ tetapi majlis perbandaran itu dilepaskan daripada liabiliti sebelum tragedi.

Mahkamah Tinggi memutuskan Arab Malaysia Finance Berhad menanggung 30 peratus liabiliti akibat runtuhan Blok 1, jurutera Wong Yuen Kean (10 peratus), Metrolux Sdn. Bhd. dan MBf Property Services Sdn. Bhd. (20 peratus), syarikat pemaju Highland Properties Sdn. Bhd. (15 peratus) dan pelukis pelan Wong Ting Sang (10 peratus).

Mahkamah Rayuan, bagaimanapun, memutuskan MPAJ bertanggungjawab kepada liabiliti sebelum tragedi tetapi dilepaskan daripada tanggungan liabiliti selepas kejadian itu.

Penghuni Blok 2 dan 3 kondominium itu menyaman MPAJ dan sembilan pihak lagi untuk mendapatkan ganti rugi antara RM31 juta dan RM35 juta bagi kerja-kerja membaik pulih dua blok bangunan yang terpaksa dikosongkan selepas Blok 1 runtuh pada 11 Disember 1993. Tragedi itu mengorbankan 48 nyawa.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.