This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Rumah di Bandar Kinrara 6 B makin kerap bergegar

Berita Harian 17/3/2006

PUCHONG: Penduduk kawasan perumahan Bandar Kinrara 6B, dekat sini, bimbang keselamatan mereka terancam berikutan tindakan sebuah syarikat pembinaan meletup bukit berhampiran rumah penduduk.

Kerja meletup bukit itu bertujuan membina sebuah lagi projek perumahan berdekatan kawasan berkenaan.

Penduduk sering tertanya-tanya setiap kali kerja letupan dijalankan kerana tiada pemilik atau wakil syarikat datang memberitahu secara menyeluruh kerja letupan bukit akan dijalankan.

Mereka mendakwa serpihan batu bertaburan atas bumbung rumah penduduk yang berhampiran. Selain itu, kesan gegaran menyebabkan cermin tingkap pecah dan dinding rumah retak.

Wakil penduduk, Goh Kim Thong, 45, berkata lebih 60 keluarga di Jalan BK 6B/9 bimbang nyawa mereka terancam berikutan gegaran kuat dan bunyi bising, selain masalah pencemaran udara yang serius di kawasan itu.

“Pada Januari lalu, penduduk mengadu Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan pemaju dikenakan kompaun, tetapi Selasa lalu kira-kira jam 11.55 pagi, mereka kembali meletupkannya.

“Saya difahamkan pemaju tidak mendapat kelulusan MPSJ untuk meletupkan bukit. Sehubungan itu, pemaju perlu menghentikan projek berkenaan serta-merta kerana penduduk tidak tahan gangguan bunyi bising selain gegaran,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis lawatan bersama Ahli Majlis MPSJ, Wan Sun Keong di sini.

Goh berkata, penduduk bimbang berlaku runtuhan jika kerja meletup batu masih diteruskan berikutan kesan retakan dapat dilihat pada struktur bangunan rumah mereka.

“Pemaju biasanya melakukan kerja meletup mulai jam 11 pagi ketika penduduk keluar bekerja. Kadang kala hari minggu mereka masih melakukan kerja berkenaan,” katanya.

Tinjauan mendapati kawasan letupan batu itu hanya kira-kira 200 meter dari kediaman. Ia turut menimbulkan masalah pencemaran udara, sekali gus menjejaskan kesihatan.

Sementara itu, Wan berkata, setakat ini pemaju sudah mendapat kelulusan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) tetapi perlu menunggu kelulusan Jabatan Kejuruteraan MPSJ.

“Kita membuat demonstrasi letupan untuk mengambil bacaan bagi memastikan kekuatan letupan tidak melebihi piawaian ditetapkan.

“Bagaimanapun, hasil tidak dapat diterima penduduk kerana alat pengukur gegaran langsung tidak menunjukkan perubahan dan penduduk mengesyaki ditipu pemaju bagi mengaburi mata mereka,” katanya.

Wan berkata, kadar minimum kerja meletup batu adalah lima milimeter (mm) sesaat bagi mengelakkan kesan di persekitarannya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.