This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Pemaju diarah henti projek
11/03/2006 Harian Metro

KUALA LUMPUR: Pemaju projek kediaman diminta menghentikan operasi serta-merta selepas seorang penyelianya maut apabila terjatuh dari aras lima sebuah bangunan yang dalam pembinaan di Jalan Ampang, di sini, kelmarin.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr Fong Chan Onn, berkata kementeriannya sudah mengeluarkan notis pemberhentian kerja berkuat kuasa serta-merta bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Menurutnya, pemaju sudah diarah mengemukakan laporan lengkap kepada kementerian itu sebelum keputusan sama ada mereka boleh meneruskan projek.

"Kementerian mengarahkan pemaju dari Jepun supaya menghentikan operasi serta merta sehingga kami berpuas hati dengan laporan kejadian yang dikemukakannya.

"Siasatan menyeluruh akan dijalankan termasuk mengenal pasti aspek keselamatan di tapak pembinaan ini," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke tempat kejadian, di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Abu Bakar Che Man dan Pengarah JKKP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Omar Mat Piah.

Khamis lalu, seorang penyelia yang dikenali sebagai Lee Kim Hai, 47, dari Selangor maut selepas terjatuh dari aras lima ketika sedang melakukan pemeriksaan kira-kira jam 10.35 pagi.

Dalam kejadian itu, mangsa dikatakan berseorangan kerana pekerja lain sedang berhenti rehat untuk menikmati sarapan pagi.

Pemaju projek itu sedang menyiapkan dua blok pangsapuri sepuluh tingkat dan satu blok pangsapuri tiga tingkat milik Great Eastern di Jalan Ampang.

Sementara itu, Dr Fong berkata, kementeriannya akan memastikan pemeriksaan berterusan dari segi aspek keselamatan di kawasan pembinaan walaupun syarikat yang terbabit dikategorikan sebagai kelas A.

"Pemaju projek pembinaan diminta mematuhi aspek keselamatan serta sentiasa memastikan pelantar yang selamat, kekunci tali pengikat keselamatan, jaring, perancah (besi penghadang) dan sebagainya.

"Jangan ambil mudah soal keselamatan kerana kemalangan pasti berlaku sekiranya mereka tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan. Majikan perlu melaksanakan pengurusan keselamatan dan kesihatan di tapak kerja dengan lebih teliti serta teratur," katanya.

Beliau berkata, ada kalanya kemalangan di tempat kerja berlaku kerana kecuaian membiarkan skru bersepah ketika pekerja berehat atau jentera ditinggalkan tanpa pengawasan.

"Sehubungan itu, JKKP akan memperkenalkan peraturan baru yang memerlukan majikan mengurus keselamatan dan kesihatan tapak kerja secara sistematik," katanya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.