This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Had tuntutan pembeli rumah dinaikkan
Berita Harian 3/3/2006

KUALA LUMPUR: Had maksimum ganti rugi menerusi Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah (TTPR) akan dinaikkan daripada RM25,000 kepada RM50,000 apabila Akta Pemaju Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (pindaan 2002) dipinda selewat-lewatnya tahun ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting, berkata perkara itu adalah antara cadangan baru bertujuan memperkemaskan peruntukan perundangan bagi memelihara kepentingan pengguna, terutama pembeli rumah.

Walaupun menyedari akta itu baru dipinda dan berkuat kuasa 1 Disember 2002, katanya, kementerian berpandangan masih ada bahagian boleh diperbaiki serta dimantapkan ke arah melindungi hak rakyat.

“Cadangan menaikkan had siling tuntutan daripada RM25,000 kepada RM50,000 dilihat wajar kerana kebanyakan kes yang dibawa ke TTPR sebenarnya membabitkan ganti rugi lebih besar daripada had maksimum sedia ada.

“Bagaimanapun, pembeli rumah sanggup ‘melepaskan’ peluang mendapat ganti rugi lebih besar kerana ia memerlukan kes dibawa ke mahkamah sivil dan perbicaraan biasanya mengambil masa panjang, ditambah terpaksa menanggung kos mengambil peguam.

“Ini berbeza dengan TTPR yang mana prosesnya lebih cepat dan pengadu tidak perlu menggunakan khidmat peguam, jadi kita melihat siling RM50,000 sebagai jumlah yang munasabah,” katanya pada sidang media selepas meninjau operasi TTPR di sini, semalam. Hadir sama Pengerusi TTPR, Kamardin Hashim.

Ong berkata, draf cadangan itu bersama beberapa pindaan lain yang difikir perlu sudah di peringkat akhir untuk disiapkan dan akan dibawa ke Kabinet sebaik semua aspek diselesaikan.

Katanya, perancangan awal untuk membentang pindaan itu pada sesi Dewan Rakyat kali ini yang bermula pada 14 Mac terpaksa ditangguhkan berikutan beberapa faktor luar kawalan.

Dalam perkembangan berkaitan, Ong berkata, pihaknya akan membuka pejabat cawangan TTPR bagi zon Utara, Selatan dan Pantai Timur bagi memudahkan orang ramai berurusan, di samping menambah ahli tribunal.

“Ketika ini, kita mempunyai sembilan ahli yang layak mendengar kes di TTPR dan bilangan ini akan ditambah mengikut keperluan.

“Bagi memudahkan pengguna di seluruh negara, kita turut melakukan pendengaran kes di beberapa tempat iaitu Pulau Pinang, Sungai Petani, Batu Gajah dan Johor Bahru tetapi bilangan golongan sasar lebih ramai di zon tengah berikutan jumlah projek yang dibangunkan di kawasan ini.

“Sehubungan itu, kementerian berpendapat perkhidmatan TTPR perlu diperluaskan ke negeri lain dengan membuka cawangan mengikut zon,” katanya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.