This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Enam perumahan DBKL dapat hak milik strata
03/03/2006 Berita Harian Oleh Zuraidah Mohamed

KUALA LUMPUR: Hanya enam daripada 15 perumahan awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah menerima hak milik strata, kata Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ruslin Hasan.

Enam kawasan terbabit ialah Sentul Fasa 3, Bandar Baru Sentul Fasa 8 dan 9, Sentul Utara Kos Rendah (Sri Pangkor), Putra Ria dan Desa Tasik.

Beliau berkata, hak milik strata belum diberikan kepada sembilan perumahan awam DBKL kerana hak milik tanah masih berstatus sementara di samping masalah teknikal berhubung penyediaan dan kelulusan pelan yang mengambil masa.

Katanya, perumahan awam DBKL yang dibeli dan diduduki itu masih berstatus strata sementara dan Sijil Layak Menduduki (CF) sementara.

“DBKL mengendalikan sebanyak 65,338 unit rumah di ibu kota, termasuk 13,070 membabitkan unit rumah jual.

“Penangguhan isu strata berlaku sejak beberapa tahun lalu menyebabkan ada pembeli rumah yang tidak berpuas hati yang membelinya sejak lebih 10 tahun,” katanya.

Kenyataan itu sebagai mengulas aduan pembeli pangsapuri Merak, Jalan Loke Yew mengenai hak milik strata yang belum diperolehnya sejak membeli kediaman yang berharga RM15,700 pada 1984.

Koh berkata, selain membayar cukai taksiran RM25.20 setiap enam bulan dan cukai tanah RM48 setahun beliau turut mendakwa kemudahan awam seperti lif diabaikan DBKL.

Ruslin berkata, dasar kerajaan menetapkan pangsapuri yang terletak di jalan protokol dan reka bentuk bangunan yang tidak sesuai akan dibangunkan semula seperti Flat Pekeliling di Jalan Tun Razak.

“Penangguhan proses permohonan hak milik strata ini juga adalah kerana perancangan jangka panjang bagi membangunkan semula perumahan yang mempunyai kriteria berkenaan termasuk pangsapuri di Jalan Loke Yew,” katanya.

Pada masa sama, Ruslin turut mengingatkan warga kota supaya berfikiran lebih terbuka serta tidak beremosi ketika meluahkan pandangan atau masalah berhubung pengurusan dan perkhidmatan DBKL.

Beliau berkata, orang ramai perlu membuat penjelasan terperinci mengenai aduan dikemukakan supaya tindakan susulan lebih mudah diambil jabatan berkaitan.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.