This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Caj selenggara 'cekik darah'

Berita Harian 8/3/2006

BALAKONG: Lebih 2,000 penduduk Pangsapuri Bayu Suria, di sini menggesa syarikat pemaju mengkaji semula caj penyelenggaraan sebanyak RM121 sebulan yang didakwa mencekik darahí dan membebankan mereka.

Mereka mendakwa, caj itu bukan saja tidak setimpal dengan perkhidmatan disediakan, malah pemaju akan mengenakan kadar faedah sebanyak 10 peratus jika penduduk lewat membayar caj berkenaan.

Presiden Persatuan Penduduk Pangsapuri Bayu Suria, Yahaya Ibrahim, berkata pemaju juga bertindak memotong meter paip air kediaman jika caj penyelenggaraan mereka tertunggak selama dua bulan.

Beliau berkata, pemaju pernah memberi jaminan secara lisan ketika membeli kediaman terbabit bahawa caj penyelenggaraan yang akan dikenakan antara RM60 hingga RM80.

Naib presiden persatuan, Abdul Rashid Abdul Manaf, berkata perkhidmatan disediakan pemaju bagi caj penyelenggaraan tinggi itu lebih kepada perkhidmatan asas seperti pembersihan, taman permainan dan pengawal keselamatan.

“Kami membayar RM121 untuk satu perkhidmatan yang sangat asas. Malah, lif juga kerap rosak dan tidak diselenggara baik menyebabkan peng­huni sering terperangkap dalam lif,” katanya.

Beliau berkata, selain caj penyelenggaraan tinggi, pemaju turut gagal menyediakan paip penyambungan untuk setiap pili dan hos bomba.

“Kami pernah membuat aduan kepada balai bomba dan difahamkan tanpa paip itu bomba sukar mendapatkan bekalan air jika berlaku kebakaran,” katanya.

Penyelia syarikat swasta, Michael James, 33, berkata penduduk juga bimbang kerana 14 unit kediaman di situ dijadikan asrama pekerja asing sejak hampir empat bulan lalu menyebabkan mereka berdepan pelbagai masalah seperti gangguan bunyi bising dan keselamatan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Serdang, Datuk Yap Pian Hon yang melawat pangsapuri berkenaan, berkata penduduk menerusi persatuan diminta mengemuka surat kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk mendapatkan bantuan seterusnya penjelasan mengenai hak mereka.

“Bagi masalah asrama pekerja asing pula, saya sudah mengarahkan persatuan penduduk membuat laporan polis dan kastam untuk menyiasat perkara ini bagi menentukan sama ada pekerja asing itu memiliki dokumen sah.

“Jika asrama itu wujud, pemaju boleh dikenakan tindakan kerana berdasarkan perjanjian peraturan kediaman antara pembeli dan pemaju sudah dinyatakan, pemilik tidak dibenarkan menyewakan kediaman mereka untuk dijadikan asrama,” katanya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.