This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

16 tahun tiada CF

Harian Metro 20/03/2006

KUALA LUMPUR: Sebanyak 471 unit flet Taman Ampang Mewah, di sini, masih tidak memperoleh sijil layak menduduki (CF) walaupun penghuninya menetap di situ sejak hampir 16 tahun lalu berikutan sikap ‘lepas tangan’ pihak pemaju dalam mengendalikan dokumen berkenaan.

Mereka yang menghuni flet itu sejak 1991 sebaliknya hanya memperoleh status strata sementara dan sijil layak menduduki (CF) sementara.

Seorang penghuni, Lum Wah Hoong, 58, marah dan kesal terhadap pihak pemaju yang bersikap acuh tidak acuh terhadap aduan penduduk termasuk mengenai hak strata dan CF.

“Penangguhan isu strata berlaku sejak beberapa tahun lalu menyebabkan pembeli rumah tidak puas hati dengan pemaju walaupun mereka sudah selesai membayar RM20,000 dan apabila ditanya kepada pihak pemaju, mereka hanya memandang sepi perkara itu.

“Kami juga dikehendaki membayar yuran pengurusan sebanyak RM25 setiap bulan kepada pihak pengurusan iaitu Townvest Sdn Bhd, namun tiada sebarang kerja pengurusan yang dilakukan sehingga hari ini,” katanya.

Malah, menurutnya penghuni turut dikenakan faedah antara RM3 hingga RM5 jika lewat membayar yuran itu pada tarikh yang ditetapkan.

Koh Sunny Eng, 63, berkata kekurangan tempat letak kereta juga menjadi masalah kepada penduduk kawasan berkenaan, menyebabkan sebahagian daripada mereka terpaksa meletak kereta agak jauh di luar kawasan kediaman dan terdedah kepada risiko jenayah.

“Kawasan tempat letak kereta tidak dirancang dengan baik sehingga pemilik kenderaan terpaksa meletakkan kenderaan mereka di blok lain. Ini menimbulkan kesesakan dalam kawasan perumahan ini,” katanya.

Pengerusi penduduk flet Taman Ampang Mewah, Wong Choi Kuan, berkata pihaknya beberapa kali menghubungi pihak pemaju untuk mengadakan sesi dialog, namun tiada sebarang jawapan positif diperolehi.

“Pada 11 Mac lalu, kami memaklumkan kepada pemaju untuk mengadakan sesi dialog, namun mereka tidak hadir untuk berbincang bersama kami dan ini menunjukkan pemaju tidak prihatin terhadap masalah yang kami hadapi,” katanya.

Menurutnya, tangki air di flet itu tidak dibersihkan sejak hampir 15 tahun lalu, menyebabkan sumber air yang dibekalkan kotor dan tidak selamat diminum kerana tangkinya berkarat dan dicemari bendasing.

“Selain itu, pungutan sampah tidak diuruskan secara berjadual dan menyebabkan kawasan kediaman ini kotor dan menjadi tempat pembiakan nyamuk,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Ampang, Dr Rozaidah Talib, yang meninjau flet itu semalam berkata, pihaknya sudah menghantar surat kepada syarikat pemaju, Seimbang Sdn Bhd untuk memaklumkan hal itu dan mengadakan dialog dengan penghuni, namun mereka menyatakan tidak dapat hadir kerana mempunyai urusan lain.

“Saya kesal dengan sikap pemaju sebegini yang hanya memikirkan keuntungan tanpa menghiraukan masalah orang lain. Saya beri tempoh selama sebulan pada pemaju berkenaan memberi maklum balas dengan segera untuk bersemuka dalam sesi dialog bersama penduduk flet terbabit.

“Saya tidak akan berkompromi lagi selepas itu dan bersedia membawa perkara ini kepada pihak atasan,” katanya yang ditemui ketika majlis gotong-royong bersama penduduk flet Taman Ampang Mewah.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.