This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

150 pembeli rumah rayu kerajaan campur tangan

Berita Harian 24/03/2006

PORT DICKSON: Seramai 150 pembeli projek perumahan Green View Resort Homes di Mukim Pasir Panjang, dekat sini merayu kerajaan negeri campur tangan membantu menyelesaikan masalah projek itu yang terbengkalai sejak hampir 10 tahun lalu.

Keadaan itu menyebabkan pembeli menghadapi masalah kewangan yang serius kerana bukan saja terpaksa membayar ansuran bulanan untuk pinjaman perumahan mereka, tetapi juga sewa rumah yang diduduki sekarang.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembeli taman perumahan itu, Kamaruddin Jantan, berkata projek itu bermula pada 1997, tetapi dihentikan kira-kira tiga tahun kemudian sebelum disambung semula.

"Projek berkenaan disambung semula selepas 2000, tetapi ia berjalan sedikit demi sedikit sehingga 2002 sebelum terbengkalai sekali lagi sehingga kini," katanya.

Projek perumahan di Batu 11, Jalan Pantai itu mengandungi 19 unit rumah kedai, masing-masing 110 unit rumah kos rendah dan rumah teres dua tingkat serta 64 unit rumah teres setingkat.

Kamaruddin berkata, berikutan masalah itu, seramai 136 pembeli projek perumahan berkenaan bertindak membuat laporan polis pada 18 Februari lalu kerana kecewa dengan keadaan itu.

Katanya, masalah terbabit sudah beberapa kali dirujuk kepada syarikat pemaju yang beribu pejabat di Lebuh Ampang, Kuala Lumpur, tetapi tiada sebarang maklum balas diterima.

"Pembeli yang menanggung beban kerana sudah membuat pinjaman bank serta terpaksa membayar ansuran bulanan dan pada masa sama tinggal di rumah sewa," katanya.

Beliau berkata, oleh kerana pemaju bersikap lepas tangan, 150 pembeli mengambil keputusan untuk berpindah ke rumah mereka yang dibeli pada harga RM45,000 di taman itu walaupun belum diluluskan untuk diduduki.

Pembeli, Rashid Bantut, 47, berkata mereka kesal dengan sikap pemaju yang gagal menyiapkan projek itu sehingga menyebabkan kawasan persekitaran dipenuhi semak samun dan pokok selain banyak kerosakan pada struktur bangunan.

"Selepas membeli rumah di sini pada 1997 lalu, saya membayar RM168 setiap bulan kepada bank dan pada masa sama menyewa rumah. Jadi, kami amat berharap kerajaan negeri campur tangan menyelesaikan masalah ini," katanya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.