This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Pinda akta lindungan hak pembeli rumah

08/02/2006 Berita Harian- Editorial

KEPUTUSAN kerajaan membenarkan mereka yang membuat pinjaman perumahan daripada kerajaan, tetapi rumah yang dibeli terbengkalai, mendapatkan pinjaman selanjutnya dan dianggap sebagai pinjaman harta pertama, tentunya melegakan kakitangan awam yang terbabit. Ini sekali gus, memberi peluang kepada mereka memiliki rumah baru selepas dianiaya pemaju yang tidak bertanggungjawab. Walaupun, mereka masih perlu menyelesaikan baki hutang yang dikira atas jumlah pinjaman dikeluarkan saja secara ansuran, ia sekurang-kurangnya meringankan beban mereka yang selama ini terpaksa membayar ansuran bulanan sedangkan rumah tidak dapat diduduki.

Ternyata, kerajaan sentiasa memberi perhatian terhadap nasib kakitangannya yang tidak kenal erti jemu berkhidmat untuk rakyat. Malah, seperti dijelaskan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Seri Izzuddin Dali, dalam pekeliling terbaru dikeluarkan kelmarin, kakitangan awam terbabit juga akan diberikan pengecualian faedah pinjaman sementara menunggu projek kediaman yang terbengkalai dipulihkan atau sehingga satu tarikh yang akan ditetapkan kerajaan. Semua langkah ini antara usaha kerajaan untuk mengatasi masalah pembelian rumah baru yang kemudian terbengkalai sehingga menimbulkan kesulitan kepada peminjam.

Bagaimanapun, masalah pembelian rumah kediaman baru yang kemudian terbengkalai bukan hanya dihadapi kakitangan kerajaan, tetapi juga orang ramai termasuk pekerja swasta. Malah, beban ditanggung pembeli yang mendapatkan kemudahan pinjaman perumahan institusi kewangan ternyata lebih berat kerana mereka terpaksa membayar ansuran bulanan yang lebih tinggi, tidak termasuk denda jika lewat menjelaskannya. Kita berharap kerajaan juga dapat melakukan sesuatu untuk membantu golongan ini walaupun mereka bukan meminjam wang daripada kerajaan.

Apa pun, isu projek perumahan terbengkalai memang serius, malah di Selangor sehingga akhir tahun lalu, ada lebih 21,300 pembeli rumah termasuk rumah kos rendah menghadapi masalah berkenaan, membabitkan 56 projek perumahan yang ada di antaranya gagal disiapkan antara lima hingga 10 tahun. Oleh itu, selain berusaha membantu mangsa yang terjejas, kerajaan juga perlu bertindak tegas terhadap pemaju. Malah, kerajaan mungkin boleh mempertimbangkan cadangan sebelum ini supaya konsep pembelian rumah beli dan siap seperti yang wujud sekarang dimansuhkan, sebaliknya diganti kepada konsep 10:90 iaitu pembeli membayar pendahuluan 10 peratus dan 90 peratus lagi hanya perlu dibayar selepas rumah siap.

Untuk tujuan itu, kerajaan perlu meminda Akta Pemaju Perumahan 1972 yang dikatakan lebih memihak kepada pemaju daripada pembeli. Kita percaya jika akta berkenaan dipinda bagi membolehkan hanya konsep pembelian rumah bina dulu dan jual kemudian saja dibenarkan berbanding jual dan bina yang diamalkan ketika ini, isu projek rumah terbengkalai akan dapat diatasi dan pembeli tidak lagi menanggung kerugian jika projek gagal disiapkan. Langkah ini juga bukan saja dapat melindungi pembeli di kalangan kakitangan awam yang meminjam daripada kerajaan, malah orang ramai yang mengambil pinjaman daripada bank.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.