This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

MPKj beri tempoh hingga hari ini

Harian Metro 10/2/2006 Oleh Mohamad Hussin mohamad@hmetro.com.my

KAJANG: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) memberi tempoh sehingga hari ini kepada pemaju membuat keputusan memilih satu daripada tiga cadangan alternatif membekalkan air bersih kepada penduduk Taman Bandar Rinching Seksyen Lima, di sini, yang tertangguh sejak empat tahun lalu.

Yang Dipertua MPKj, Zainal Abidin Arshad, berkata cadangan itu dikemukakan sewaktu pemaju perumahan, Rhombus Bina Sdn Bhd dan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) mengadakan perbincangan pada tahun lalu.

Menurutnya, antara tiga cadangan yang dibentangkan ialah pemaju perlu menyiapkan kerja pemasangan paip bagi memudahkan Syabas mengeluarkan lesen sementara bekalan air dengan dikenakan bayaran tahunan.

“Pemaju boleh menyerahkan kerja pemasangan paip kepada Syabas sekiranya mereka tidak dapat melakukannya dengan syarat perlu menyediakan draf bank yang dianggarkan bernilai RM2.5 juta sebagai jaminan.

“Cadangan ketiga ialah Syabas akan membekalkan air sementara dengan syarat pemaju terbabit membayar yuran tahunan atau lesen sehingga kerja pemasangan paip dilakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan perjumpaan dengan wakil penduduk Taman Bandar Rinching Seksyen Lima dan Rhombus Bina, di sini.

Turut hadir Pengarah Kejuruteraan dan Pembangunan MPKj, Anuar Abdul Wahab; Penolong Pengurus Besar Syabas, kawasan Hulu Langat, Jafar Muda dan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP) cawangan Tengah, Mohd Jalaludin Sulaiman.

Zainal Abidin berkata, MPKj berharap pemaju dan Syabas dapat mengambil keputusan muktamad bagi menyelesaikan masalah bekalan air yang tertangguh sejak empat tahun lalu.

“Kita faham perasaan penduduk yang mengalami masalah bekalan air sejak sekian lama. Saya berharap perbincangan ini dapat menyelesaikan segala masalah yang dihadapi penduduk terbabit.

“Selain masalah air, penduduk dibelenggu kebimbangan berikutan tiada Sijil Layak Menduduki (CF). MPKj akan mengeluarkan CF secepat mungkin sehingga pemaju menyelesaikan mengenai isu bekalan air dan pembetungan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan menghantar laporan berhubung isu bekalan air yang dihadapi penduduk berkenaan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo pada Selasa depan.

Kelmarin, kira-kira 1,000 keluarga di Taman Bandar Rinching Seksyen Lima mengadakan piket kerana kegagalan pemaju mendapatkan CF, mengadakan sistem pembentungan dan sampah sarap tidak diselenggara dengan baik dan bekalan air sering kali terputus berikutan pemaju tidak memasang meter air di setiap kediaman.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.